Ahad, 14 Ogos 2011

Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia: Berbau monopolistik atau selamatkan ekonomi negara?

KPRU


Umum sedia maklum bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airlines ini merupakan tunggak kepada amalan monopoli di mana sebelum kehadiran AirAsia dalam industri penerbangan di Malaysia, Malaysia Airlines mempunyai hak kepada kesemua pasaran penerbangan di Malaysia. Di samping itu, GLC yang merupakan kuasa utama dalam menjana ekonomi negara ini dijangkiti dengan campur tangan politik yang berleluasa. Akibat campur tangan politik yang tidak terkawal ini, Malaysia Airlines mengalami lebih banyak kerugian daripada merasai keuntungan. Ini berlaku akibat campur tangan politik yang membawa kepada pengurusan yang tidak cekap mahupun sistematik. Sebuah aset negara telah dipermainkan untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja dan tidak dirasai oleh rakyat negara ini.

Oleh itu, pada 9 Ogos 2011<1>, dunia industri penerbangan telah dikejutkan dengan penukaran saham di antara dua syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd. Penukaran saham menjaminkan Tony Fernandes akan memegang 20% saham dalam Malaysia Airlines dan Khazanah, pemegang saham terbesar dalam Malaysia Airlines akan memegang saham sebanyak 10% dalam Tune Air, pemegang saham terbesar dalam AirAsia Bhd.

Orang awam telah diberikan jaminan kononnya pakatan dua syarikat penerbangan ini tidak akan membawa kepada amalan monopoli akan tetapi Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) tidak diyakini dengan jaminan ini atas beberapa kekhuatiran-kekhuatiran yang akan dijelaskan di bawah.

Kesan pakatan dua syarikat penerbangan ini membawa kepada kekurangan persaingan yang sihat dalam industri penerbangan dalam Malaysia. Persaingan sihat telah diketengahkan sebagai wacana baharu dalam kerangka pembangunan ekonomi melalui penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkusa pada 1 Januari 2012.

Wacana di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 adalah bahawa negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan monopoli yang membantutkan semangat persaingan kompetitif yang sihat.

Menurut Rancangan Malaysia yang ke-10, persaingan yang sihat diperlukan untuk mewujudkan suasana ekonomi yang lebih cekap dan dinamik. Akta Persaingan 2010 ini menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur-pelabur asing dan tempatan lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia. Peniaga yang melabur ke dalam negara Malaysia tanpa halangan (baca: dalam kes ini, monopoli) ini akan membolehkan negara menikmati pertumbuhan ekonomi.

Pengguna juga mendapat barangan dengan harga yang lebih rendah dengan pilihan yang banyak. Persekitaran kompetitif ini menggalakkan pembangunan produk yang baru dengan kualiti yang tinggi. Tanpa persaingan yang sihat, peniaga tidak akan menitikberatkan hak memilih para pengguna. Sebaliknya, dalam kes ini, kuasa monopoli berkemungkinan besar membawa kepada kenaikan harga, penurunan kualiti produk, pengurangan laluan penerbangan dan penurunan perkhidmatan penerbangan dua syarikat penerbangan ini dalam jangka masa panjang. Apa yang bakal disaksikan dalam jangka masa pendek tidak dapat menjamin perubahan dan hala tuju yang mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi merugikan rakyat dalam jangka masa panjang.

Ekoran penggubalan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan amalan monopoli boleh membuat aduan kepada Tribunal Rayuan Persaingan. Di samping Tribunal Rayuan Persaingan, kerajaan juga memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Persaingan. Tribunal Rayuan Persaingan<2> ini boleh digunapakai oleh mana-mana pihak yang hendak mengutarakan aduan mengenai mana-mana perniagaan yang tidak bertindak dalam kepentingan para pengguna.

Menurut Fasal 5 Akta Suruhanjaya Persaingan 2010<3>, termaktub di bawah seksyen keanggotaan Suruhanjaya, "Suruhanjaya hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri atas syor Menteri."<4> Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ialah Sabri bin Yaakob, Tan Lian Hoe dan Rohani binti Abdul Karim.

Suruhanjaya<5> ini dipengerusikan oleh bekas hakim Malaya, Siti Norma Yaakob dan anggota-anggota suruhanjaya yang dilantik ialah Ketua Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan anggota Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan, Michael Yeoh, bekas Dekan Fakulti Undang-undang UM dan kini Naib Presiden Hal Ehwal Akademik Nilai International College, Sothi Rachagan, serta Dekan Graduate School of Business Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr.Hasnah Haron.

Anggota suruhanjaya lain pula terdiri daripada bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan (gambar kanan), bekas peguam Abd Malek Ahmad dan wakil kerajaan iaitu wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Suruhanjaya ini haruslah menjawab kepada tuntutan rakyat untuk mengendalikan isu monopoli dan mengeluarkan laporan untuk samada sesuatu aktiviti Pakatan merupakan langkah yang membawa kebaikan kepada rakyat atau ia hanyalah perjanjian perniagan yang berbau monopolistik yang akan menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja.

Melihat kepada perkembangan isu MAS/AirAsia setakat ini, KPRU ingin melontarkan beberapa persoalan seperti berikut:

1. Adakah Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju dengan perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia? Dan apakah pendirian Menteri dan Timbalan Menteri terhadap kebimbangan berlakunya monopoli yang tidak sejajar dengan wacana baharu pembangunan ekonomi berteraskan semangat persaingan sihat?

2. KPRU mengalu-alukan anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan memberi pandangan profesional mereka terhadap prestasi AirAsia dan Malaysia Airlines sebelum dan selepas pakatan ini untuk memberi penjelasan yang lebih komprehensif kepada orang awam mengenai kesan Pakatan ini kepada indusri penerbangan di Malaysia dan kesan pakatan ini kepada para pengguna dan juga para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini.

Isu monopoli ini membawa kepada bagaimana Tony Fernandes (gambar kiri) membeli dan membayar hutang AirAsia<6> untuk menjadikannya satu syarikat penerbangan yang disegani dunia, maka persoalaanya ialah, adakah dengan membeli 20% saham dalam Malaysia Airlines, Tony Fernandes akan membayar hutang yang dialami oleh Malaysia Airlines, atau memonopoli industri penerbangan dengan menjadi pemilik sebenar Malaysia Airlines dan bukannya Khazanah? Dan adakah kesudahan ini akan membawa kepada monopoli satu entiti "syarikat penerbangan beraja" di Malaysia?

Pakatan bersifat monopolistik akan memberi kesan kepada kecekapan operasi Malaysia Airlines dari empat sudut.

Sudut pertama ialah Nisbah Revex atau nisbah jumlah pendapatan operasi sebagai peratusan daripada jumlah mengurus Malaysia Airlines. Apabila AirAsia memasuki gambaran ini, dan laluan-laluan dibahagikan dengan tetap, adakah Nisbah Revex Malaysia Airlines akan terjejas? Adakah ia akan berkurangan dengan AirAsia mengambil alih beberapa laluan penerbangan yang akan menguntungkan AirAsia akibat beberapa laluan udara yang bertindih di antara FireFly dan AirAsia?


Jadual 1: Keuntungan Selepas Cukai Malaysia Airlines Bagi Tempoh 2001-2009 (RM juta)
Sumber: Malaysia Airlines (2001-2009)<7>


Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1 di atas, status kewangan bagi tempoh tahun 2001 hingga 2009 yang lepas menunjukkan Malaysia Airlines mengalami kerugian atau tren keuntungan menurun setiap tahun. KPRU berpendapat, dakwaan bahawa Pakatan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia dapat membantu status kewangan Malaysia Airlines masih tidak terjawab dan tidak terjamin. Jadual 2 di bawah menunjukkan tren hutang jangka masa panjang Malaysia Airlines yang semakin meningkat.




Jadual 2: Hutang Jangka Masa Panjang Malaysia Airlines Bagi Tempoh 1990-2000 (RM bilion)
Sumber: Malaysia Airlines, (1991-1998); Boeing Corporation (2002) http://active.boeing.com/commercial/orders/summaries.cfm<8>


Adakah ia berbaloi untuk meletakkan status kewangan Malaysia Airlines pada syarikat penerbangan yang lain iaitu Tony Fernandes, pemilik kepada syarikat pesaing terdekat Malaysia Airlines? Adakah pakatan ini akan berjaya membantu Malaysia Airlines atau adakah ia akan membantu kapitalis tertentu dengan memberinya kuasa bermonopoli dalam industri penerbangan di pasaran penerbangan kecil seperti di Malaysia ini?

Keduanya ialah, dari sudut produktiviti. AirAsia telah berjaya mendapat hasil keuntungan sebanyak RM1.06 bilion untuk tahun 2010<9> manakala Malaysia Airlines hanya berjaya meraih keuntungan sebanyak RM233 juta sehingga bulan September 2010<10>. Dengan AirAsia mempunyai prestasi produktiviti yang lebih kukuh daripada Malaysia Airlines, adakah pakatan ini lebih menguntungkan prestasi AirAsia? Berikutan perkembangan bahawa Tony Fernandes akan memegang jawatan dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines, adakah ini memberi ruang kepada beliau untuk membuat keputusan mudah yang akan menguntungkan lagi prestasi AirAsia? Di mana semangat dan wacana baharu persaingan yang wajar tertanam dalam kerangka pembangunan ekonomi negara berikutan penggubalan Akta Persaingan 2010?

Sudut ketiga ialah faktor pembawaan penumpang di mana AirAsia telah memesan 200 <11> kapal terbang A230 Airbus untuk mengembangkan armada kapal terbangnya manakala Malaysia Airlines dalam proses untuk menggantikan kapal terbang Boeing 747 dan 777 yang berusia lebih dari 20 tahun. Dalam kata erti yang lain, AirAsia mempunyai faktor pembawaan penumpang yang lebih tinggi daripada Malaysia Airlines dan lebih 200 kapal terbang A230 Airbus ini akan menguntungkan syarikat penerbangan AirAsia daripada Malaysia Airlines dalam pakatan dua syarikat penerbangan ini.

Sudut yang terakhir ialah hasil penumpang di mana Malaysia Airlines mempunyai bilangan yang lebih sedikit daripada AirAsia iaitu untuk tahun 2010, AirAsia mempunyai 15.23 juta penumpang; 7.2 juta penumpang antarabangsa dan 8.03 juta merupakan penumpang tempatan. Manakala Malaysia Airlines membawa 7.32 juta penumpang antarabangsa dan 6.5 juta penumpang tempatan<12>.

Perkembangan terbaru di mana Menteri Pengankutan Kong Cho Ha<13> telah mengesahkan bahawa akan berlaku kenaikan dalam cukai lapangan terbang serta mesyuarat<14> di antara Malaysia Airlines dan FireFly juga cenderung ke arah memperkukuh suasana monopolistik dalam industri penerbangan. Ketidakpastian mengenai mesyuarat ini juga membawa kepada pengurangan keyakinan rakyat dalam pakatan ini. Perkembangan ini tidak menggalakkan wacana konsumerisme tetapi menggalakkan suasana korporat yang akan menjejaskan hak-hak pengguna. Hak-hak pengguna diketepikan untuk meraih keuntungan yang hanya akan dirasai oleh pihak-pihak tertentu dan bukannya rakyat negara ini.

Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menukarkan perkataan konsumer kepada konsumerisme<15>, ia adalah untuk menggalakkan dan melindungi hak-hak pengguna dari suasana korporat akan tetapi Pakatan di antara AirAsia dan Malaysia Airlines merupakan perlakuan bercanggah dengan pendirian kementerian.

Pakatan ini yang dibuat tanpa mengambil kira kehendak para pengguna mahupun para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini telah mengundang bantahan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). DPMM mengutarakan bantahan mereka atas sebab Pakatan ini seperti menjual aset rakyat kepada pihak lain dan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan nasional serta ia menunjukkan seolah-olah ia gagal diurus dengan baik.<16>

Pakatan kedua-dua syarikat penerbangan ini menunjukkan bagaimana kerajaan dengan niat menjual aset rakyat yang mereka gagal untuk menguruskan dengan baik kepad pihak ketiga. KPRU ingin menegaskan sekali lagi, ia seolah-olah kerajaan melepas batuk di tangga dan sudah tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan Malaysia Airlines dengan lebih cekap dan sistematik. Ia merupakan tanggungjawab kerajaan dan juga negara untuk menjaga kepentingan rakyat untuk menyediakan suasana persaingan sihat bagi menjana ekonomi yang akan membangunkan negara dan bukan untuk mewujudkan suasana monopolistik yang menguntung pihak-pihak tertentu sahaja.

Kata tutupnya, pakatan ini tidak dilakukan dengan niat hendak menjaga kepentingan rakyat. Sebaliknya, ia sekali lagi berbau politk naungan ekoran tertanamnya budaya rent-seeking yang menyokong pewujudan suasana monopolistik dan dilakukan untuk menguntungkan pihak tertentu sahaja. Ia tidak mengambil kira kepentingan para pekerja, para pengguna mahupun rakyat negara. Ia dilakukan dalam penuh kerahsiaan dan kesudahannya ialah pemenang merupakan pihak tertentu termasuk kapitalis tertentu dan bukan rakyat.

<1> http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/8/9/business/9260731&sec=business
<2> http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkk-theme/images/pdf/712_AKTAPERSAINGAN2010.pdf
<3> http://www.parlimen.gov.my/index.php?modload=document&uweb=dr&doc=bills&arkib=yes
<4> Fasal 5(1) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.
<5> http://www.kpdnkk.gov.my/web/guest/surhanjaya-persaingan;jsessionid=89643EC1957DD4ED72685651ADBB5315?p_p_id=56_INSTANCE_Ur5y&p_p_lifecycle=0&p_p_state=exclusive&p_p_mode=view&p_p_col_id=column-3&p_p_col_count=1&_56_INSTANCE_Ur5y_struts_action=%2Fjournal_content%2Fview&_56_INSTANCE_Ur5y_groupId=10137&_56_INSTANCE_Ur5y_articleId=41918&_56_INSTANCE_Ur5y_viewMode=print
<6> http://www.tnt.net.my/private-eye/mas-air-asia-share-swap-real-deal-or-raw-deal
<7> http://malaysiaairlines.listedcompany.com/ar.html.
<8> Jeff Tan (2008) Privatization in Malaysia: Regulation, rent – seeking and policy failure, London: Routledge.
<9> http://www.airasia.com/iwov-resources/my/common/pdf/AirAsia/IR/AA_4Q10_Analyst_Presentation.pdf
<10>http://malaysiaairlines.listedcompany.com/misc/PressRelease/Press_Release_3Q2010.pdf.
<11> http://walau2u.blogspot.com/2011/08/mas-airasia-merger-airasias-fernandes.html
<12> http://www.mmail.com.my/content/43128-airasia-flew-more-passengers-mas-last-year
<13> The Edge Financial Daily, Jumaat, 12 Ogos 2011
<14> ibid
<15> Tan Sri Sulaiman Mahbob, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), The Star, Friday, 12 August 2011
<16> Berita Harian, Jumaat, 12 Ogos 2011

*Disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU). Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU - Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

**Pembetulan: KPRU menggunakan istilah "penggabungan" dalam teks asal, diperbetulkan kepada "pakatan" setelah menyedari kesilapan itu. Kami memohon maaf atas kesilapan tersebut.

Tiada ulasan: