Rabu, 3 Ogos 2011

Pakatan selamatkan RM200 bilion wang rakyat

Aziz Muda


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan satu belanjawan yang baik bagi tahun 2011 untuk semua rakyat di negara ini, di samping menyelamatkan RM200 bilion wang rakyat yang tiris dalam belanjawan yang disediakan dan diibentangkan oleh kerajaan BN bagi tahun lalu.

Bagi mencapai matlamat itu, Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan belanjawan yang menekankan kesemua subsidi akan disalurkan terus kepada rakyat, khususnya golongan sasar, bagi menjadikan belanjawan itu benar-benar berguna kepada pelbagai lapisan rakyat negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah belanjawan yang turut menekankan tentang penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Umno BN, sehingga menyebabkan peruntukan subsidi RM200 billion untuk petroleum tidak sampai kepada orang ramai.

Menurut beliau, peruntukkan tersebut cukup besar. Ia sepatutnya sampai kepada sasaran, tetapi terjadi di sebaliknya ekoran sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin Umno BN yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan subsidi itu bagi kepentingan mereka sendiri.

Katanya, kejadian itu menyebabkan rakyat menjadi amat terhimpiit dengan kenaikan harga petrol dan diesel, walaupun mereka tidak sepatutnya menerima bebanan itu ekoran subsidi yang begitu besar yang telah disediakan oleh kerajaan.

"Begitu juga dengan subsidi bagi padi atau beras untuk petani. Walaupun subsidinya ada dan jumlahnya agak besar, tetapi para petani tetap juga tak dapat, tetap terus miskin dan hidup susah.

"Sebaliknya yang mendapat subsidi itu adalah orang yang dah kaya yang memiliki syarikat-syarikat besar terutama Bernas," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Jawankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahlli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzullkefly Ahmad, pemimpin PKR dan DAP telah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli ekonomi utama di tanah air di tempat yang sama.

Rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan ekonomi, termasuk langkah-langkah untuk mengatasi inflasi di negara ini, di samping mendapatkan pelbagai pandangan untuk digarap oleh Pakatan Rakyat dalam belanjawannya bagi tahun 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini.

Pada sidang media bersamanya dengan Datuk Seri Anwar itu, Mohamad menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu akan turut menekankan langkah-langkah yang akan dilakukan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat untuk kepentingan rakyat.

"Langkah-langkah tersebut seperti yang terdapat dalam Buku Jingga. Antaranya termasuklah mengadakan skim kifalah bagi ibu tunggal seperti yang dilakukan oleh Kerajaan kelantan yang akan turut dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat lain termasuk Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Selain itu, kita juga akan turut menyediakan subsidi yang akan disalurkan terus kepada rakyat termasuk subsidi petroleum dan lain-lain subsidi sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara pada pilhanraya umum akan datang," tegas beliau.

Tiada ulasan: