Khamis, 25 Ogos 2011

Panel khas: Pakatan tuntut jaminan Najib PRU hanya selepas pembaharuan

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat hari ini sepakat menuntut Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan pilihan raya umum ke-13 hanya akan diadakan selepas syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen dilaksanakan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, barisan kepimpinan tertinggi perikatan itut akan mempertimbangkan cadangan sama ada mahu menyertai jawatankuasa khas itu ataupun tidak selepas Perdana Menteri memberi jaminan.

Jelas beliau, pendirian rasmi Pakatan Rakyat berhubung perkara itu akan dimuktamadkan bulan depan.

“Kita telah bincang isu jawatankuasa Parlimen ini walaupun keputusan muktamad belum dibuat kerana ia tertakluk kepada penjelasan Perdana Menteri.

“Mengikut undang-undang tiada sebarang masalah untuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengambil tindakan segera, kalau isu pembersihan daftar pemilih, ketelusan dan memastikan perjalanan pilihan raya bersih tidak perlu tunggu jawatankuasa ini, SPR boleh laksanakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat tidak memboikot pembentukan jawatankuasa itu tetapi mahukan komitmen daripada Najib untuk melakukan pembaharuan sebelum pilihan raya umum ke-13.

“Kerajaan perlu pastikan pilihan raya umum ke-13 (hanya) akan diadakan selepas jawatankuasa selesai bersidang dan menggunakan cadangan pembaharuan,” katanya.

Minggu lalu Najib berkata, pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pbila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) juga menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Anwar menambah, tiada sebab untuk kerajaan tidak boleh melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

Beliau berkata SPR perlu memastikan cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas itu perlu dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Tiada sebab untuk SPR tidak bertindak dengan bersih jujur dan amanah,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga berkata pihaknya juga mahu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk meneliti isu warga asing bertukar status kepada warganegara dalam tempoh yang singkat.

Minggu lalu Pakatan Rakyat telah memberikan tempoh tujuh hari kepada Najib untuk mengadakan inkuiri awam dalam isu itu.

“Inisiatif Ahli Parlimen yang dipimpin Salahuddin Ayub menuntut Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) mengambil tindakan segera untuk menjelaskan isu yang melibatkan keselamatan negara iaitu kewarganegaraan segera.

“Sehingga kini masih tiada penjelasan mengenai perkara itu dan kita setuju supaya suruhanjaya siasatan diraja dibentuk dalam isu warga asing ini,” katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata, pembentukan jawatankuasa khas itu tidak bermakna sekiranya cadangan yang dikemukakan tidak dilaksanakan.

“Kalau kerajaan tak terima keputusan jawatankuasa ini buat apa nak tubuhkan jawatankuasa ini.

“Perdana Menteri perlu beri satu jaminan dan komited untuk laksanakan pembaharuan sistem pilihan raya,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata empat tuntutan awal Bersih 2.0 termasuk penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen dan daftar pemilih.

“Dulu SPR kata tiada kuasa tapi sekarang kata ada kuasa, sebenarnya mereka ada kuasa terutamanya dakwat kekal, tempoh berkempen dan pembersihan daftar pemilih dan kita harap SPR bersungguh dalam perkara ini.

“Semua ini SPR boleh lakukan kalau SPR mahu,” katanya.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Tiada ulasan: