Rabu, 17 Ogos 2011

Panel khas: Parlimen disyor tambah masa sidang, guna laporan Suhakam


KUALA LUMPUR – Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham) mengesyorkan tempoh hari persidangan Dewan Rakyat sesi hujung tahun ini dipanjangkan bagi membolehkan isu sistem pilihan raya dibincangkan secara mendalam dan total.

Persidangan dijadualkan berlangsung selama 34 hari mulai 3 Oktober hingga 1 Disember ini.

“Proham juga mengesyorkan agar masa yang secukupnya diperuntukkan bagi resolusi pembaharuan pilihan raya berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13,” kata Setiausaha Proham Datuk Michel Yeoh dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak-wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata, panel itu yang akan dianggotai oleh wakil parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Yeoh berkata Proham sangat percaya bahawa langkah mengembalikan perbincangan dan perbahasan awam menerusi jawatankuasa pilihan khas Parlimen adalah cara yang ideal untuk memperbaiki proses Parlimen dan demokrasi di Malaysia.

“Mekanisme ini menyediakan rakyat jelata dan masyarakat sivil peluang formal untuk mengambil bahagian dalam perkara berkenaan dengan orang ramai,” kata beliau lagi.

“Proham mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan mengiktiraf bahawa jawatankuasa pilihan khas Parlimen merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan isu-isu pembaharuan pilihan raya,” kata Yeoh dan menambah, panel dwipartisan akan menyediakan persekitaran konstruktif bagi perbincangan awan secara telus dan sihat.

“Ia potensi cukup baik untuk merangka kehendak nasional mengenai pembaharuan pilihan raya di Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Peguam juga menyambut baik pengumuman Najib semalam mengenai pembaharuan sistem pilihan raya menerusi pembentukan jawatankuasa pilihan khas.

Presidennya Lim Chee Wee berkata majlis itu berharap pengumuman berkenaan akan menyerlahkan tindakan sebenar yang membawa kepada perubahan ketara tidak lama lagi.

Lee berkata, kerajaan perlu menimbang secara serius syor mengenai pembaharuan pilihan raya yang dibuat Suhakam pada 2007, termasuk pemberian peluang sama rata terhadap media, tempoh berkempen yang lebih panjang dan pendaftaran para pemilih yang layak secara automatik.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Lim berkata, Majlis Peguam menyokong saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah agar pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan manakala umur minimum layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun sekarang.

Ia sebahagian tuntutan Bersih 2.0.

Katanya umur layak mengundi lebih rendah akan membolehkan golongan muda terlibat dalam proses politik di negara ini.

Tiada ulasan: