Isnin, 15 Ogos 2011

PAS adil siasat kes serbuan keatas gereja


KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPNT) menyifatkan PAS berlaku adil dalam melakukan penyiasatan dalam isu berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di negeri itu yang dikatakan cuba memurtadkan orang Islam.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia terbukti melalui keputusan pucuk pimpinan untuk mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak iaitu Jais dan gereja terbabit serta turut mendapatkan maklumat daripada Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Keputusan yang dibuat itu katanya, bertujuan memastikan tidak wujud usaha sabotaj daripada mana-mana pihak dalam isu terbabit.

“PAS mengambil sikap adil dan teliti dalam melakukan sesuatu supaya ia bukanlah satu sabotaj untuk menimbulkan keadaan huru-hara,” katanya.

Mengulas berhubung pendirian Pemuda Pas Pusat yang menyokong penuh tindakan Dr Hasan dalam mempertahankan akidah umat Islam, beliau berkata, sikap tegas itu adalah asas perjuangan Pas.

Menurutnya, PAS mempertahankan segala undang-undang yang ada dalam negara terutama dalam mempertahankan undang-undang Islam dan tidak bersetuju dengan usaha memurtadkan orang Islam.

Sebaliknya, Ustaz Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payong, mempersoalkan pula tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang berdiam diri ketika isu murtad yang mencecah beratus ribu orang didedahkan seorang mufti suatu ketika dulu.

“Orang murtad dikatakan mencecah 250,000 waktu dulu tetapi Umno senyap terhadap perkara yang didedahkan mufti itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan supaya perkara itu tidak dibuat tuduhan secara melulu dan media perlu mengulas isu itu berdasarkan fakta yang benar.

Tiada ulasan: