Jumaat, 12 Ogos 2011

PAS jumpa gereja 16 Ogos, Jais tangguh

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — PAS akan mengunjungi Gereja Methodist Damansara Utama pada 16 Ogos ini manakala kunjungan ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pertemuan dengan pihak gereja akan diadakan pada puku 4 petang.

“Pihak gereja telah bersetuju dengan permohonan PAS untuk bertemu pada 16 Ogos ini.

“Dengan Jais, kita dimaklumkan oleh mereka bahawa mereka belum dapat berjumpa mana-mana pihak kerana sedang menyiapkan laporan siasatan kes tersebut,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dipetik Harakahdaily.

Mustafa berkata sembilan orang pimpinan PAS termasuk beliau akan terlibat dalam pertemuan dengan pihak gereja tersebut.

Mereka akan diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa PAS iaitu Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod dan Dr. Dzulkefly Ahmad serta Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Pertemuan dengan Jais dan gereja (gambar) diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tiada ulasan: