Khamis, 4 Ogos 2011

PAS Pahang bantah kilang keluar 'penyeri' arak

Khairil Abdul Rahim


KUANTAN: PAS Pahang membantah tindakan sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini yang akan memproses ‘bahan penyeri’ arak Daraclar kerana boleh mencemar maruah Islam.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata berdasarkan maklumat kakitangan, syarikat berkenaan sedang membina kemudahan pengeluaran produk berkenaan dan di jangka akan memulakan operasinya dalam masa terdekat.

Menurutnya, Daraclar atau beer stabilizer ialah bahan yang dicampurkan dalam arak bagi tujuan penyeri.

Bahan tersebut dikatakan produk baru syarikat berkenaan yang sebelum ini hanya mengeluarkan silika.

“Serentak dengan itu PAS Pahang memandang serius dan kesal berhubung isu pembinaan kemudahan baru bagi pengeluaran produk yang berkaitan arak itu kerana sebahagian daripada pekerja syarikat berkenaan beragama Islam,” katanya.

Tambah Suhaimi, sebelum ini terdapat fatwa dari Jabatan Mufti Pahang dikeluarkan pada 31 Julai 2004 yang mengatakan harus bekerja di kilang yang mengeluarkan silika bagi tujuan menapis arak atau digunakan untuk perusahaan lain seperti cat dan kaca.

Namun, katanya PAS berpendapat maklumat yang jelas dan terperinci mesti diberikan oleh pihak syarikat kepada Jabatan Mufti berhubung produk Daraclar dan kedudukan semasa syarikat di peringkat dunia dalam pengeluaran produk bagi industri arak.

PAS, ujarnya bertegas satu kajian semula secara terperinci dengan meletakkan kebajikan pekerja Islam yang merupakan pekerja majoriti di syarikat tersebut dan juga rantaian yang bakal menerima tempiasnya seperti mereka yang bertugas di syarikat lori, pelabuhan, perkapalan dan lain-lainnya.

“PAS juga menuntut ketegasan kerajaan negeri agar meneliti dengan sehalus-halusnya setiap permohonan yang dibuat agar tidak memperjudikan keselamatan, maruah dan kemuliaan agama dan diri dalam membuat sesuatu keputusan walaupun pada asasnya dilihat mempunyai keuntungan kewangan.

“Tetapi pada jangka panjang industri ini merugikan dan tidak mempunyai keberkatan di sisi Allah di dunia dan akhirat,” katanya.

Tiada ulasan: