Selasa, 16 Ogos 2011

Peminjam pendidikan Pulau Pinang perlu jelas bayaran sebelum 30 September

oketkini.com


GEORGETOWN – Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada 6,429 peminjam tabung Pinjaman Pendidikan Kerajaan Negeri yang komited dan bertanggungjawab menyempurnakan bayaran balik pinjaman mereka sepenuhnya.

Bagaimana pun, kerajaan negeri kesal kerana 1,564 peminjam yang dikategorikan sebagai peminjam tegar telah gagal menyelesaikan pinjaman mereka dengan jumlah tunggakan sebanyak RM6.87 juta.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kegagalan membayar balik pinjaman mengikut jadual yang telah ditetapkan telah menjejaskan peluang pinjaman kepada bakal peminjam lain.

”Wang bayaran balik ini digunakan semula untuk memberi pinjaman kepada penuntut yang akan menyambungkan pengajian ke peringkat Sijil, Diploma, Ijazah, Sarjana dan juga PhD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua peminjam tegar dan penjamin mereka dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman masing-masing.

”Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 30 September 2011 kepada peminjam tegar yang masih gagal untuk menyelesaikan bayaran pinjaman sebelum tindakan diambil dengan mengiklankan nama mereka beserta penjamin dalam akhbar-akhbar tempatan.

“Selanjutnya, tindakan undang-undang akan diambil jika peminjam-peminjam tegar berkenaan masih tidak melunaskan pinjaman mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan” ujarnya.

Pinjaman Pendidikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang diwujudkan pada tahun 1970 bertujuan untuk memberi pinjaman pendidikan tinggi kepada warganegara Malaysia yang lahir atau menerima sebahagian besar daripada pendidikan mereka di Pulau Pinang.

Permohonan pinjaman penuntut boleh dipohon secara online melalui portal Kerajaan Negeri mulai 2 Mei hingga 31 Julai setiap tahun.

Lembaga Biasiswa dan Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang dalam mesyuarat bertarikh 15 Ogos lalu telah meluluskan:

* Permohonan baru Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang bagi sesi 2011/2012 berjumlah 353 orang seperti dilampiran dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.36 juta.

* Perbenlanjaan tanggungan iaitu bayaran untuk penuntut lama semester 2 sesi 2011/2012 seramail 238 orang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM472,250.

Guan Eng berkata, berdasarkan rekod dari 2008 hingga 2011, seramai 31 peminjam telah diluluskan pertukaran pinjaman kepada biasiswa dengan jumlah RM 305,500 kerana mendapat prestasi cemerlang dengan Kelas Pertama iaitu CGPA 3.67.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang juga prihatin kepada peminjam-peminjam yang menghidap penyakit kritikal dengan memberi pengecualian khas bayaran (dengan permohonan).

Katanya, sejak tahun 2008 hingga 2011 seramai 6 orang telah diluluskan dengan jumlah RM43,003.03.

”Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif untuk memberi pengecualian daripada membayar faedah pinjaman kepada peminjam yang dapat menyelesaikan keseluruhan pinjaman secara sekaligus,” tambah beliau.

Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh melayari portal Kerajaan Negeri atau terus menghubungi Unit Pinjaman Penuntut di Tingkat 29 KOMTAR di talian 04-6505627/5599/5165/5391.

Tiada ulasan: