Selasa, 16 Ogos 2011

Pemuda DAP hati-hati sokong panel Parlimen mengenai pilihan raya

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Pemuda DAP hari ini mengalu-alukan pengumuman penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk memulihkan sistem pilihan raya tetapi mengambil sikap berhati-hati kerana menyedari kerajaan Barisan Nasional terkenal dengan janji-janji kosong.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu menunjukkan pentadbiran beliau akhirnya terpaksa tunduk kepada desakan rakyat melalui perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu.

“Ini merupakan kemenangan awal hasil daripada kebangkitan rakyat menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya mengulas kenyataan Najib semalam berhubung penubuhan panel Parlimen tersebut.

Untuk merealisasikan agenda perubahan tersebut, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah mahu Najib mengambil beberapa langkah segera.

Beliau mencadangkan lima langkah segera agar agenda perubahan yang diwar-warkan Najib terlaksana:

1. Mengadakan sidang khas Dewan Rakyat sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen tersebut. Tanpa sidang khas, Parlimen terpaksa menunggu sehingga 3 Oktober untuk melaksanakan penubuhan Jawatakuasa tersebut.

2. Lapan tuntuan asal Bersih 2.0 dijadikan sebagai asas ‘terma-terma rujukan’ kepada penubuhan Jawatankuasa itu.

3. Memberikan tempoh masa selama tiga bulan kepada Jawatankuasa itu bagi melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengumpul pandangan awam dari segenap lapisan masyarakat. Laporan penuh perlu dibentang dan dibahas di Parlimen sebaik tempoh itu tamat.

4. Semua cadangan dari Jawatankuasa Pilihan Parlimen itu yang dipersetujui bersama secara konsensus dan lapan tuntutan asal Bersih 2.0 MESTI dilaksanakan dalam Pilihan raya umum ke-13.

5. Najib perlu menjamin bahawa beliau tidak akan membubarkan Parlimen selagi semua agenda perubahan yang dituntut untuk memastikan sistem pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis, badan kehakiman dan pejabat peguam negara tidak boleh berpihak, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Tiada ulasan: