Selasa, 16 Ogos 2011

Pemuda PAS Alor Gajah tembusi kubu UMNO

Kiriman AkhtarSyaheed


Durian Tunggal, : Dewan Pemuda PAS Kawasan Alor Gajah terus menyantuni masyarakat dengan kejayaan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Fakir Miskin. Majlis yang diadakan di Kampung Gangsa Tengah telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Saudara Adly Zahari. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dari Terengganu selaku tetamu jemputan majlis ini.

Menariknya, majlis ini merupakan satu rekod baru bagi Dewan Pemuda PAS Alor Gajah kerana Kg Gangsa Tengah merupakan kubu kuat UMNO. Penganjuran majlis ini memecah tradisi di kampung berkenaan kerana sebelum ini belum ada lagi program PAS yang dianjurkan secara besar-besaran di Kampung Gangsa Tengah.

Ketua Pemuda PAS Alor Gajah, Ustaz Shahbudin Isnin dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Gangsa Tengah yang memberikan kerjasama yang amat baik dalam menjayakan majlis ini.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kehadiran tuan-puan penduduk Kampung Gangsa Tengah ke majlis ini. Kami juga mengharapkan program-program PAS pada masa akan datang terus mendapat sambutan yang meriah daripada penduduk di sini. Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Alor Gajah akan terus mendekati masyarakat melalui program-program kebajikan” ujarnya.

Dalam majlis ini Pesuruhjaya PAS Melaka, Saudara Adly Zahari telah menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Turut diraikan ialah guru-guru PASTI Kawasan Alor Gajah serta guru-guru Sekolah Rendah Islam Al-Munawwarah. Saudara Adly Zahari juga tidak kekok membantu menyendukkan nasi untuk tetamu majlis ini. Seorang pengunjung yang ditemui menyifatkan Saudara Adly Zahari sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Turut hadir ialah Timbalan YDP PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Asyraf, Exco Pemuda PAS Pusat, Saudara Johari Osman, Ketua Pemuda PAS Melaka, Saudara Yuhaizad Abdullah, Setiausaha Pemuda PAS Melaka, Shahrin Azam dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Melaka, Saudara Aizat.

Tiada ulasan: