Jumaat, 5 Ogos 2011

Pemuda PAS Wilayah seru bekas tentera tampil dedahkan kebenaran

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanjung tinggi usaha yang telah dibuat oleh Nasir Mohamad, seorang bekas tentera yang berani tampil membuat pengakuan terhadap penyelewengan undi pos semasa berkhidmat sebagai tentera. Bagi DPPWP, usaha beliau perlu diberikan pujian bagi menegakkan kebenaran bahawa memang benar terdapat penyelewengan dalamsistem undi pos.

Dengan pendedahan beliau serta seorang lagi bekas tentera yang membuat pengakuan sama pada tahun 2009 iaitu Abu Kassim membenarkan telahan umum bahawa sememangnya undi pos adalah talian hayat buat UMNO-BN. Tidak hairanlah UMNO-BN memenangi banyak Parlimen di Malaysia yang mempunyai undi pos dengan majoriti besar setiap kali pilihanraya berlangsung.

DPPWP membayangkan bagaimana nasib parti-parti selain UMNO-BN bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai beribu jumlah undi pos. Sudah tentu UMNO-BN dengan mudah memenangi kerusi di kawasan terbabit tanpa usaha keras bertemu pengundi kerana mereka sudah ada simpanan tetap sedangkan partilain yang bekerja keras hanya menggigit jari setiap kali pilihanraya.

Oleh itu, DPPWP mengharapkan lebih ramai bekas tentera akan tampil mendedahkan pengalaman mereka sebagaimana yang dibuat oleh Nasir Mohamad. Ini kerana tindakan ini dianggap sebagai menipu dalam sistem pilihanraya dan sudah tentu ia berdosa kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia umumnya meskipun mereka diarah berbuat demikian tanpa kerelaan hati mereka. Selain itu, ia menafikan hak rakyat khususnya pengundi pos lain dalam memilih parti yang mereka sukai.

Justeru itu, bagi menghayati keberkatan bulan Ramadhan ini, DPPWP menyeru bekas-bekas anggota tentera yang pernah terlibat dalam penyelewengan undi pos untuk menginsafi dan menyesali tindakan mereka terdahulu. Salah satu caranya adalah memohon keampunan kepada Allah SWT serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan tampil mendedahkan kebenaran. DPPWP sanggup menyediakan platform serta ruang buat bekas anggota tentera mendedahkan pengalaman mereka dalam penyelewengan undi pos ini bila-bila masa diperlukan. Ingatlah, kebatilandan kezaliman pasti akan lenyap dan kebenaran jualah yang akan menang.

*Kenyataan daripada Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: