Jumaat, 5 Ogos 2011

Penawar nafi minta Najib letak jawatan

TERKINI


Aziz Shamsuddin (kanan) membuat penjelasan pada sidang media di Kuala Lumpur petang tadi. Di sebelah beliau ialah Aziz Yassin, ahli Majlis Tertinggi Penawar. — Foto oleh Jack Ooi


KUALA LUMPUR — Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) menafikan laporan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Presidennya Tan Sri Abd Aziz Shamsuddin berkata Penawar yang ditubuhkan pada Disember 2009 tidak pernah meminta agar Najib berundur.

Najib menjadi perdana menteri dan presiden Umno sejak awal 2009.

“Saya sama sekali menafikan kenyataan itu,” kata beliau sambil menambah, pada mesyuarat diadakan 29 Julai lalu Penawar tidak pernah membuat sebarang keputusan mahu menggesa agar Najib meletakkan jawatan.

“Sebarang bentuk persepsi yang salah harus dibetulkan,” kata beliau yang juga bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam.

Beberapa blog menulis bahawa Penawar telah mengadakan mesyuarat beberapa hari lepas, dipengerusikan oleh Aziz yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penawar didkwa telah mendesak Najib supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas alasan terlalu lemah dan tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah negara.

Ia dikatakan dihadiri oleh bekas anggota jemaah menteri Datuk Mokhtar Hashim dan Tamrin Ghaffar iaitu anak bekas timbalan perdana menteri dan adik kepada timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aziz menegaskan beliau ragu-ragu “gelombang mahu menggulingkan” kepimpinan mula wujud dalam Umno.

“Tiada keadaan sedemikian. Umno berdiri penuh di belakang Najib,” kata beliau sambil menambah, Najib yang juga Presiden Umno bekerja keras untuk membangunkan negara.

“Kami sendiri pernah berada dalam kerajaan sebelum ini, jadi kami bersimpati dengan beliau. Kami berharap publik juga akan memberi simpati mereka kerana fitnah akan menyebabkan publik kerugian,” kata beliau.

Aziz juga berkata Penawar ditubuhkan untuk memberi pandangan dan sokongan kepada Perdana Menteri agar “beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik.”

“Kami kesal kerana dilaporkan bahawa kami telah meminta beliau meletakkan jawatan. Kami pemimpin Umno lama menghormati kerajaan dan setia kepada Umno,” katanya lagi.

Justeru kata Aziz, jika benar ada ahli Penawar yang membuat kenyataan palsu sedemikian, dia seharusnya meletakkan jawatan kerana tidak berkongsi pendirian badan itu.

“Dalam pertubuhan ini, kami ada disiplin dan kami ada syarat. Jika benar dia (individu terbabit) berkata demikian, dia harus rasa bersalah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: