Rabu, 17 Ogos 2011

Permohonan maaf kepada Menteri Pelancongan 15 Sept

BERNAMA

Hakim membuat keputusan itu setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 Sept bagi Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hadir ke mahkamah untuk mendengar permohonan maaf secara terbuka daripada pengarah sebuah agensi pengiklanan, Austen Victor Lauw Zecha, yang didakwa memfitnah beliau.

Hakim Datuk V.T.Singham menetapkan tarikh itu setelah peguam Sunil Abraham yang mewakili Ng, dan peguam T.H. Liew yang mewakili Zecha, mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah berdasarkan terma-terma tertentu.

Sunil berkata antara terma yang dipersetujui ialah permohonan maaf itu perlu disiarkan akhbar Sin Chew Daily atau Nanyang Siang Pau dalam tempoh 48 jam selepas permohonan itu dibacakan di mahkamah.

Menurutnya, permohonan maaf itu juga perlu dibaca di saluran stesen radio Business FM89.9 selama seminggu selepas tempoh 48 jam itu, manakala jumlah ganti rugi perlu dibayar kepada Ng dalam tempoh seminggu selepas permohonan maaf dibacakan di mahkamah.

Dalam saman yang difailkan pada 14 April lepas, Ng mendakwa Zecha yang merupakan pengarah TBWA-ISC Malaysia Sdn Bhd dan Integrated Strategic Communications Sdn Bhd (ISC), dalam satu wawancara dengan Business FM89.9, telah mengeluarkan kata-kata aduan palsu dan serangan terhadapnya sebagai Menteri Pelancongan.

“Wawancara dan kata-kata aduan pihak defendan itu telah menerima liputan meluas di media cetak di Malaysia serta di internet,” Ng yang juga Naib Presiden MCA dilaporkan berkata sebelum ini.

ISC, yang mengendalikan kempen “Malaysia Truly Asia”, mendakwa menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan kononnya kerana ia diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ng selaku plaintif, mendakwa kata-kata itu telah merosakkan reputasi dirinya sebagai ahli politik dan menteri termasuk dalam kalangan pelanggan dan syarikat yang mempunyai urusan dengan Kementerian Pelancongan.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah untuk menghalang defendan, ejen dan/atau pekerja, daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.


Tiada ulasan: