Jumaat, 19 Ogos 2011

PM: K'jaan senarai 1,100 syarikat bumi untuk dibantu

MALAYSIA KINI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata konsep meritokrasi akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera dan untuk itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sedang dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera yang berkemampuan untuk berjaya di bursa saham.

NONE"Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat, yang senarainya akan diumumkan dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi," katanya di majlis perasmian konvensyen dua hari - Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera - anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Universiti Teknologi MARA, bermula hari ini.

Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan membantu syarikat berkenaan supaya menjadi lebih besar.

"Jika perolehannya RM100,000 tahun ini, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan meningkat kepada RM1 juta, dan kalau sekarang ini hanya beroperasi di dalam negara, syarikat-syarikat itu nanti akan berkembang ke peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah program ini merupakan satu pendekatan baharu yang berdasarkan meritokrasi dalam kalangan bumiputera... tak ada lagi soal kroni... tidak ada lagi soal siapa kita tahu bukan kawan rakan kita, tapi orang yang benar-benar boleh berjaya, orang itulah yang kita bantu," katanya.

Beliau berkata perubahan pendekatan dalam membantu usahawan Bumiputera berdasarkan meritokrasi ini dilihat lebih baik memandangkan kaedah dahulu seperti pemberian saham terbitan awam menerusi kuota bumiputera, tidak bertahan lama kerana saham-saham itu dijual kembali ke pasaran.

Najib berkata: "Saya nak beritahu tuan-tuan, puan-puan jangan terkejut, 60 bilion saham yang kita agihkan kepada bumiputera pada masa dulu menerusi IPO, kuota hari ini tinggal 2 bilion. Kenapa?"

Beliau berkata pegangan saham bumiputera berkurangan disebabkan sesetengah pelabur bumiputera tidak berkemampuan untuk memegang saham-saham berkenaan.

Memang ada dalam kalangan mereka menjual saham kerana harga saham yang meningkat, namun beliau mempersoalkan ke manakah perginya keuntungan yang diperoleh itu.

Najib berkata: "Kalau kita nak tolong syarikat-syarikat bumiputera, syarikat-syarikat itu mesti terbukti kewibawaannnya sebagai pengusaha yang komited dan rajin. Saya kata pada mereka ia bukan soal siapa mereka, bukan siapa mereka kenal tetapi pengetahuan mereka."

Justeru, kerajaan akan mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham, namun memerlukan sedikit bantuan bagi memenuhi kriteria Suruhanjaya Sekuriti agar mereka boleh disenaraikan, katanya.

Najib yang turut mengimbau kembali sewaktu beliau menjadi menteri besar Pahang, berkata ramai usahawan bumiputera yang berjumpanya minta tandatangan untuk mendapatkan projek.

Namun setelah diselidik, mereka ini hanya mahukan keuntungan atau "berniaga atas angin" kerana orang yang di belakang mereka bukan usahawan bumiputera, kata Najib.

Beliau berkata jika usahawan Bumiputera tidak mengubah sikap dan nilai kerja mereka, usahawan Bumiputera tidak akan maju dalam perniagaan meskipun beberapa konvensyen seperti ini dianjurkan.

"Apa yang kita hendak ialah orang yang komited dan sanggup berjihad untuk berjaya, sesuai dengan tema konvensyen hari ini... maknanya bukan sahaja kerajaan bantu, tuan-tuan dan puan-puan mesti membantu diri sendiri untuk berjaya," katanya.

Najib berkata ada antara vendor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Telekom Malaysia Bhd dan Petroliam Nasional Bhd, yang selesa menjadi vendor dan tidak mahu keluar daripada status berkenaan untuk berdiri atas kaki sendiri.

Sepatutnya, jika mereka telah menjadi syarikat vendor selama lima tahun, mereka berdikari dan memberi peluang kepada syarikat lain untuk menjadi vendor pula, kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata selain syarikat vendor bumiputera, kontraktor Bumiputera Kelas F juga sepatutnya keluar dari kelas itu dan berdikari untuk menjadi kontaktor yang memiliki kelas lebih tinggi.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata ada syarikat bumiputera yang berjaya, dan baru-baru ini terdapat syarikat bumiputera membeli sebuah syarikat Australia yang terlibat dalam bidang minyak dan gas

"Apa yang saya nak lihat ialah bumiputera yang sudah berjaya dan mempunyai syarikat yang disenarai, perlu mempunyai program pembangunan vendor bagi membantu syarikat Bumiputera.

"Bukan sahaja setakat memberi bantuan kebajikan, malah membantu melahirkan lebih banyak usahawan Bumiputera yang boleh membantu syarikat lain," katanya.

Najib meminta usahawan Bumiputera supaya tidak takut terhadap perubahan dalam persekitaran perniagaan global, sebaliknya berusaha menangani perubahan ekonomi dunia yang kini menyaksikan kemunculan dua kuasa baru - China dan India.

Najib berkata beliau mahu masyarakat Bumiputera bersikap positif dalam melakukan perubahan supaya apabila negara mencapai status negara maju pada 1 Januari 2020, orang Melayu dan bumiputera juga diiktiraf sebagai bangsa yang maju dan berjaya.

Beliau berkata kemunculan lebih banyak badan bukan kerajaan, selain daripada GABEM bagi memperjuang ekonomi bangsa, merupakan usaha yang positif, asalkan mereka "sekapal" dengan kerajaan yang mempunyai hala tuju yang sangat jelas dalam perkara ini.

Menyentuh tentang meritokrasi, perdana menteri berkata ia diperlukan bagi menggalakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan pasa masa yang sama merupakan tindakan pengesahan kerajaan terhadap masyarakat bumiputera yang terpinggir, yang tidak boleh diabaikan.

Najib memberi contoh mengenai taraf hidup anak-anak yang dibesarkan di Kenny Hill Kuala Lumpur yang berbeza dengan anak-anak yang dibesarkan di kawasan pedalaman di Kampung Bantal, Pahang.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi GABEM Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan. Bernama

Tiada ulasan: