Isnin, 29 Ogos 2011

PPSMI: PAS mahu jumpa Page

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS sama sekali tidak dapat menerima kenyataan The Parent Action Group For Education (Page) supaya kerajaan mengembalikan semula Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kita sebenarnya tidak sama sekali dapat menerima kenyataan ini, dan saya minta untuk kita mengadakan pertemuan dengan pihak Page ini, kita mahu dengar daripada mereka apa alasan daripada mereka sebab kita mewakili majoriti rakyat yang tidak mahu kepada PPSMI,” kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Datuk Ustaz Abu Bakar Chik (gambar) kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Page yang meminta untuk bertemu dengan kabinet supaya dapat diadakan pertemuan dan seterusnya kabinet didesak mengambil langkah untuk mengembalikan semula PPSMI.

Baginya, kenyataan Presiden Page, Datuk Noor Azimah yang dikatakan mempunyai bukti dan mendapat sokongan lebih 90% ibu bapa berhubung perkara itu dianggap satu perkara yang luarbiasa, satu perkara yang baru yang mendatang.

“Bagaimana beliau boleh mendakwa bahawa beliau ada bukti dan mendapat sokongan sedangkan rata-rata kajian yang dibuat PPSMI gagal untuk memajukan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak terutama di luar bandar bagi mendepani pendidikan Sains dan Matematik. Apatah lagi kita boleh mengatakan bahawa, keciciran (di kalangan pelajar) telah begitu banyak dan begitu meluas sekali kerana akibat daripada PPSMI ini.

“Jadi saya harap kita akan dapat mengadakan pertemuan segera mereka (dan) kita mahu mendengar alasan mereka (namun begitu) dari segi untuk mendesak kabinet supaya membolehkan (PPSMI dikembalikan) kita menentang sama sekali dalam apa bentuk sekali pun. Tetapi dengan Page kita mahu mendengar daripada mereka apa alasan yang mereka hendak bawa (kepada kabinet) tentang perkara ini,” ujarnya.

Seingat beliau, tidak kurang daripada 80 NGO yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan PPSMI dan sekurang- kurangnya lebih 30 NGO yang besar yang asas telah menentang PPSMI.

Kata beliau, antaranya Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu sendiri yang terdiri daripada profesor-profesor dalam pelbagai lapangan termasuk Pak Samad Said sebagai Sasterawan Negara, Professor Abdullah Hassan, Professor Sahril yang pakar dalam bidang Sains dan Matematik dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) yang dianggap sebagai badan yang boleh mewakili masyarakat Melayu, badan-badan seperti ABIM, JIM, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Selain itu, katanya Persatuan Penerbit, (Pengerusinya) Puan Ainon, mereka mempersoalkan dan mereka memang menentang PPSMI termasuk Professor Linguistik, Professor Awang Sariyan dan Dr Nik Safiah Karim.

Tambahnya, mereka semua adalah tokoh-tokoh yang dikenali dalam masyarakat yang berpengalaman.

“Mungkin ada alasan daripada Page dengan alasan-alasan baru itu yang kita mahu dengar dari mereka, sebab kita anggap ini bukan suatu percubaan (tetapi) ini adalah suatu perkara yang serius,” ujarnya.

PAS, tegasnya telah mengambil perjalanan berdasarkan kepada gabungan 80 NGO dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang PAS telah bersama-sama dengan mereka (GMP) membuat desakan di dalam satu demonstrasi yang besar.

Tambahnya, dan ekoran dari itu kerajaan telah membuat peraturan (keputusan) untuk mengembalikan semula kepada dasar asal, di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Kemudiannya, katanya kerajaan membuat pengubahsuaian dalam erti kata memperteguhkan dan memantapkan Bahasa Inggeris dan memperkasakan (memartabatkan) Bahasa Melayu.

“Walaupun PAS berpandangan, ia suatu keputusan yang kurang jelas, pada umumnya kita menganggap bahawa ia adalah sesuatu ubah suai di atas keperluan yang dihajatkan oleh rakyat bagi membasmi PPSMI dan PPSMI tidak akan diteruskan sama sekali, walaupun ada keinginan untuk pembaikkan di dalam Bahasa Inggeris dalam konteks yang lain,” katanya.

Tiada ulasan: