Jumaat, 19 Ogos 2011

Projek Jambatan Kedua PP: Kontraktor Melayu dipinggir

FREE MALAYSIA TODAY

Menurut janji kerajaan pusat, sebanyak 30 peratus daripada projek pembinaan atau pembekalan akan diberikan kepada kontraktor Bumiputera tempatan.



GEORGE TOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang (PKMMPP) hari ini menggesa kerajaan pusat supaya segera mengkaji semula pengagihan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang didakwa telah meminggirkan kontraktor Bumiputera tempatan.

Yang Dipertua PKMMPP Datuk Muhamad Fadzill Hassan berkata, setakat ini, persatuan itu masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenai agihan projek jambatan bernilai lebih RM4 bilion itu sedangkan kerja-kerja pembinaannya telah ditahap hampir 50 peratus.

“Menurut janji kerajaan pusat, sebanyak 30 peratus daripada projek pembinaan atau pembekalan akan diberikan kepada kontraktor Bumiputera tempatan tetapi sehingga kini, tiada sebuah syarikat dari PKMMPP dipelawa untuk menyertai projek itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, PKMMPP kecewa apabila kontraktor tempatan hanya menjadi pemerhati dalam sebuah projek raksasa di negeri sendiri.

“Kami desak supaya kerajaan bersikap telus dan dedahkan jika telah terdapat kontraktor tempatan yang diberikan projek,” katanya.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden PKMM berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat mengenainya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, namun tiada sebarang jawapan yang diberikan sehingga sekarang.

Fadzill berkata, projek itu tidak seharusnya diagihkan kepada kroni-kroni tertentu atas kepentingan parti politik kerana ramai kontraktor Bumiputera di negeri ini tidak terlibat dengan parti-parti politik.

Katanya, terdapat 1,800 kontraktor dari kelas A hingga kelas F yang berdaftar di negeri ini dan kebanyakan mereka, terutamanya kontraktor Kelas F, kini telah gulung tikar atau menjalankan perniagaan lain kerana tidak mempunyai sebarang projek.

Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di Pulau Pinang dan kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada 2008 dan dijangka siap pada November 2013.

Jambatan sepanjang 24 km itu bakal menjadi jambatan yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara dan ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd (CHEC) dan UEM Builders Bhd. Bernama

Tiada ulasan: