Jumaat, 19 Ogos 2011

Projek NCO bernilai RM2 bilion: PKR desak hentikan rundingan dengan SAPURA

Nik Nazmi Nik Ahmad


KEADILAN telah dimaklumkan bahawa sebuah projek besar sedang dirunding antara Sapura Secured Technologies Sdn Bhd dan Kementerian Pertahanan untuk memajukan Network Centric Operations (NCO) untuk Angkatan Tentera Malaysia.

KEADILAN telah dimaklumkan bahawa program NCO bermaksud untuk mengintegrasikan semua apliaksi system, pengesan, system arah dan kawal dan persenjataan dan dianggarkan bernilai lebih RM 2 billion untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun.

Kami memahami bahawa pihak ATM telah pun memiliki sistem yang hampir sama, yang dimajukan beberapa tahun yang lalu. Apatah lagi, projek ini telah mendapat kritikan yang menyeluruh daripada anggota ATM sendiri, dan keprihatinan mereka tidak diendahkan oleh semua yang mengarahkan projek ini untuk diteruskan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah KEADILAN difahamkan bahawa projek ini sedang dirundingkan secara terus demi kepentingan Sapura. Kami juga difahamkan bahawa Sapura tidak memiliki kebolehan teknikal untuk melaksanakan projek ini, dan keupayaan mereka untuk memenuhi keperluan projek ini wajar dipersoalkan.

KEADILAN dengan ini mendesak Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan untuk menghentikan perbincangan dengan Sapura tentang program NCO ini sehingga inkuiri penuh diadakan sama ada sistem baru ini benar-benar diperlukan untuk dibuat dengan kepuasan pihak ATM.

Kedua, jika program NCO ini benar-benar dibuktikan perlu untuk ATM, maka kami menggesa Kementerian Pertahanan untuk memilih pihak yang paling layak untuk melaksanakan projek ini menerusi proses tender terbuka.

*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kiri) selaku Pengarah Komunikasi PKR.

Tiada ulasan: