Khamis, 25 Ogos 2011

PRU-13: SPR kaji guna biometrik, dakwat kekal


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan akan menggunakan kedua-dua sistem biometrik dan dakwat kekal ketika pengundian pada pilihan raya umum.

Bagaimanapun Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata suruhanjaya itu masih mengkaji implikasi perundangan kedua-dua sistem itu dan sama ada ia boleh digunakan secara sukarela ataupun sesuatu yang wajib.

Pun begitu katanya, jika pengundi tidak diwajibkan menggunakan sistem baru, maka keseluruhan sistem akan menjadi tidak bermakna.

“Itu sebabnya kami mahu memastikan setiap orang menggunakannya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada SPR akan mengesyorkan perkara itu kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen, Aziz berkata, pihaknya berharap begitu.

Menjawab soalan sama ada perubahan itu akan dilaksanakan ketika pilihan raya umum ke-13, beliau berkata: “Insya-Allah.”

Katanya, jika penggunaan sistem itu adalah sesuatu yang wajib, maka undang-undang semasa perlu dipinda di Parlimen.

SPR sedang menyediakan rangka kerja bagi jawatankuasa pilihan khas itu, untuk dikemukakan kepada Kabinet pada 7 September ini.

Tiada ulasan: