Ahad, 21 Ogos 2011

RASUAH DAN KEBOCORAN PINTU MASUK NEGARA

Oleh : SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA


ISU KEMASUKAN pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia bukanlah perkara baru. Peluang pekerjaan di negara ini menjadi daya tarikan kepada pekerja asing untuk merebut peluang mencari rezeki. Walau bagaimanapun, kemasukan warga asing tanpa kawalan dan penguatkuasaan boleh menyebabkan pelbagai gejala negatif selain masalah pemerdagangan manusia.

Antaranya kaitan dengan pertambahan kadar jenayah, permasalahan sosial, pertembungan budaya dan aspek kesihatan. Namun begitu, tidak kurang pula wujudnya pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kebanjiran kemasukan PATI dengan perlakuan rasuah dan penyelewengan yang mereka lakukan.

Menyedari wujudnya ruang dan peluang perlakuan rasuah dalam isu kemasukan PATI ke negara ini, SPRM mengambil tindakan menjalankan operasi terhadap kebocoran pintu masuk negara. Sebelas Kertas Siasatan (KS) telah dibuka bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan enam KS dibuka bagi tujuan siasatan bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009.

Antara tindakan operasi yang dijalankan adalah ke atas maklumat berhubung kemasukan warga Indonesia tanpa permit perjalanan yang sah. Mereka telah dikehendaki oleh dalang-dalang tertentu untuk membayar sejumlah wang kepada pegawai Imigresen sebagai jaminan agar tiada masalah timbul khususnya di pintu masuk Pelabuhan Klang.

“CORRUPTION Ranges From Active Involvement To Passive Negligence, And It Is Often The Lubricant That Allows Victims Be Selected, Transported And Held Against Their Will”.

Daripada pemerhatian risikan SPRM Selangor, dianggarkan 1,000 hingga 1,500 orang PATI masuk ke negara ini setiap hari. Anggaran juga mendapati kira-kira 35% daripada jumlah ini telah membayar wang rasuah antara RM70.00 hingga RM100.00 seorang bagi mengelakkan prosedur pemeriksaan imigresen.

Kebanyakan mereka ini yang masuk ke Malaysia semata-mata hendak mencari peluang pekerjaan. Kadar bayaran levi pekerja asing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah antara RM360.00 hingga RM1,800.00 setahun mengikut sektor pekerjaan. Manakala yuran pemprosesan pas lawatan (kerja sementara) adalah antara RM60.00 hingga RM110.00 seorang.

Anggapan dengan menggunakan bilangan pendatang tersebut dan purata bayaran yuran pas lawatan (kerja sementara) serta levi yang sepatutnya dikenakan adalah RM800.00, Kerajaan dianggarkan boleh mengalami kerugian mencecah RM86.4 juta setahun akibat daripada ketidakpatuhan prosedur imigresen yang berpunca daripada amalan rasuah.

Menurut laporan berita BERNAMA bertarikh 23 Mac 2010, Menteri Dalam Negeri menganggarkan kira-kira RM171 juta dibelanjakan ke atas pengurusan tahanan dan pengusiran PATI dalam tahun 2009. Kos makan sahaja bagi tahanan di 13 depoh tahanan seluruh negara boleh mencecah RM341,881.00 sehari. Akibat kebanjiran PATI ini Kerajaan terpaksa menanggung kos-kos lain yang sukar dianggarkan daripada aspek keselamatan, implikasi sosial dan perkhidmatan kesihatan.

Melalui tindakan SPRM untuk membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan dalang kemasukan PATI, didapati wujudnya segelintir pegawai Jabatan Imigresen yang hidup mewah dengan wang haram apabila terdedahnya penglibatan mereka yang menerima sogokan sehingga RM60,000.00 sebulan di Jeti Penumpang Pulau Ketam.

Ini adalah antara punca yang menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi PATI. Malah terdedah perlakuan rasuah mereka sehingga terdapat penguatkuasa yang dipercayai dibayar sehingga RM2,000.00 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram. Ini termasuklah bagi melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Hasil tindakan operasi yang dijalankan, seramai sebelas orang pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tujuh orang awam telah ditangkap. Sembilan daripada pegawai JIM yang ditangkap bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, manakala dua lagi adalah pegawai yang bertugas di Jeti Port Dickson.

Secara keseluruhannya sebanyak RM231,608.36 nilai wang tunai atau dalam akaun simpanan pegawai tersebut telah disita. Jumlah nilai aset yang disita adalah berjumlah RM117,400.00.

Kejayaan membanteras kebocoran pintu masuk negara dalam operasi yang dijalankan ini adalah hasil risikan dan operasi khas yang dijalankan di pelabuhan atau pintu masuk. Hasil siasatan, operasi dan pendedahan mengenai gejala rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen ini telah menyebabkan satu langkah drastik dilakukan JIM iaitu dengan melakukan rombakan besar-besaran.

Antara tindakan yang diambil adalah dengan menukarkan dua puluh anggota dan pegawai yang bertugas di Pelabuhan Klang ke cawangan lain. Rombakan ini dilakukan bagi memastikan ‘jalinan rangkaian’ antara pegawai Imigresen dengan dalang-dalang yang membawa masuk PATI ke Malaysia dapat dihentikan.

Dalam masa yang sama, JIM dan SPRM mengadakan perbincangan bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur yang membuka ruang dan peluang gejala rasuah hingga menyebabkan ’pencerobohan’ berlaku di pintu masuk negara oleh anggota penguatkuasa undang-undang di negara ini.

Tiada ulasan: