Ahad, 28 Ogos 2011

Ringgit dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan


KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan setelah kekurangan hala tuju baru dan tiada petunjuk dari Amerika Syarikat, ekonomi terbesar dunia, mengenai usaha merangsang pertumbuhan, kata para peniaga.

"Berita tidak begitu mengembirakan dan mengecewakan pelabur yang mengharapkan langkah baru merangsang ekonomi. Tiada dasar baru untuk mencergaskan ekonomi AS akan memberi kesan kepada pertumbuhan rantau ini juga," kata seorang peniaga.

Tambahan pula, kebimbangan berterusan berhubung keadaan ekonomi AS dan masalah hutang negara Eropah, dijangka merangsang permintaan bagi dolar Amerika, yang akan melemahkan mata wang Asia termasuk ringgit.

"Kebanyakan pelabur memilih untuk menyimpan aset selamat seperti dolar AS atau emas memandangkan tinjauan masa depan ekonomi dunia semakin teruk sejak kebelakangan ini. Dolar Amerika tentunya menjadi pilihan selepas AS membayangkan tiada langkah baru untuk merangsang ekonominya," kata peniaga itu.

Seorang lagi peniaga juga percaya mata wang Asia, termasuk ringgit akan terus turun dengan kelembapan pertumbuhan di rantau ini, dan menambah yang pasaran tukaran Asia boleh berdepan dengan pembetulan dalam jangka sederhana.

"Ringgit berkemungkinan didagangkan pada paras yang sama dan dalam jajaran kecil antara 2.98 dan 3.00 berbanding dolar AS, dengan pemangkin dalam negara yang terhad serta isu luar yang lemah mempengaruhi sentimen minat," kata peniaga itu.

Peniaga itu berkata kebanyakan mata wang Asia yang baru muncul termasuk ringgit, mengalami penurunan setelah terdapat kebimbangan berhubung kelembapan ekonomi global dan krisis hutang Eropah.

"Kebimbangan itu akan terus memberi tekanan terhadap mata wang Asia termasuk ringgit," kata peniaga itu.

Beliau berkata pasaran tukaran asing dalam negara berkemungkinan lengang minggu depan setelah minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum sempena sambutan Hari Raya dan Hari Kemerdekaan.

Pasaran akan ditutup pada 30 Ogos hingga 1 Sept.

Ringgit rendah semasa mengakhir minggu pada 2.9865/9895 berbanding satu dolar AS daripada 2.9790/9820 semasa ditutup pda Jumaat lepas. Semasa minggu berkenaan, ringgit didagangkan dalam jajaran kecil antara 2.96 hingga 2.98 berbanding dolar AS.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit ditutup bercampur-campur.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.4758/4797 daripada 2.4604/4634 tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8791/8855 daripada 3.8992/9057 minggu lepas.

Ringgit naik berbanding pound British kepada 4.8743/8798 daripada 4.9201/9257 tetapi ditutup rendah berbanding euro pada 4.3116/3162 daripada 4.2647/2699 pada Jumaat lepas.- Bernama

Tiada ulasan: