Jumaat, 5 Ogos 2011

RM748,800 bayaran elaun khas MPPP

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM748,800 setahun kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) iaitu tambahan elaun sebanyak RM150 seorang kepada 238 penguatkuasa dan 178 pekerja awam sebagai penghargaan jasa mereka meningkatkan status MPPP walaupun terpaksa terdedah dengan bahaya dan kotoran.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) berkata, kenaikan elaun tersebut membolehkan mereka bekerja dengan lebih tekun, rajin, penuh kesabaran, mengikut lunas undang-undang dan berintergriti.

Menyentuh mengenai integriti ia bukan tertakluk kepada menangani rasuah sahaja tetapi juga mesti menekan aspek kebijaksanaan, amanah, tanggungjawab, cemerlang dan mengutamakan nilai murni.

"Kerajaan negeri bersetuju menambah elaun kepada 238 orang penguatkuasa dan 178 pekerja awam di MPPP sebanyak RM150 seorang sebagai penghargaan yang tidak ternilai tahun ini. Ia melibatkan sejumlah wang RM748,800," jelasnya semasa berucap di Majlis Penyampaian Cek Elaun Khas kepada anggota penguatkuasa dan pekerja awam 3D semalam.

Beliau berharap semangat kekitaan dan semangat berpasukan diterap dalam diri warga MPPP.

Sikap itu, katanya akan menjadi contoh kepada rakyat yang lain untuk lebih prihatin dan sekaligus dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang matang dan berdisiplin barulah boleh melahirkan negeri yang lebih bersih, hijau dan selamat.

Ia juga, ujarnya membolehkan mereka lebih fokus kepada kerja keselamatan, penyelesaian aduan rakyat, penjagaan dan pemulihan alam sekitar serta urus tadbir bandar yang lebih berkesan.

Ini, katanya selaras dengan usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri antarabangsa Plan Pengurusan Stratejik MPPP memberi penekanan kepada key result area (KRA) 3C dan 1R iaitu cleanliness, congestion, crime dan revenue seperti meningkatkan kebersihan, kecerian bandar, menerapkan amalan budaya menyelenggara kemudahan awam dengan baik, melaksanakan program bandar selamat, mencari jalan penyelesaian masalah pengurusan lalu lintas, memperkukuhkan kedudukan hasil majlis serta terakhir meningkatkan sistem penyampaian majlis supaya perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik untuk rakyat.

"Sebagai warga MPPP mesti mempamerkan sikap yang baik sebagai contoh untuk rakyat lain melakukan kebaikan selari dengan usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Bila berjaya kelak semua orang rasa bangga," katanya.

Tiada ulasan: