Ahad, 14 Ogos 2011

‘Sejahtera dikekal, pincang diranap’ gelombang baru Kedah

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Gelombang Bersepadu PAS Kedah dalam satu program khas yang diadakan di Kompleks PAS Kedah baru-baru ini. Gerakan Gelombang Bersepadu adalah misi menggerakkan gelombang sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat serta gelombang penolakan terhadap BN dilakukan secara menggabungkan kesemua kekuatan dalam PAS.

Gelombang bermaksud gerakan alunan yang kuat bergerak secara serentak dan berkembang berupaya menyentuhi segala yang ditempuhi. Dalam konteks program yang dirancang ia bermaksud merangsang hati nurani rakyat dengan penuh kesungguhan agar mereka bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat menumbangkan BN di Pusat dalam pilihanraya umum ke 12 sambil mengekalkan Pakatan Rakyat memerintah Kedah.

Gerakan Gelombang Bersepadu dirancang berasaskan teori psikologi bahawa manusia akan merasa selamat untuk bersama dengan kelompok yang kuat dan merasa selesa untuk bersama dengan kelompok yang teramai.

Sedar atau tidak, sokongan terhadap BN selama separuh abad adalah kerana gerakan gelombang yang dicipta setiap kali menjelang pilihanraya. Kelebihan mereka ialah kerana mempunyai medium penyebar maklumat yang berkesan iaitu radio, televisyen serta semua media utama bercetak.

Himpunan rakyat secara terbuka dengan kehadiran seorang pemimpin untuk diraikan adalah di antara agenda bertindak penyerakan gelombang. Pembangkang mungkin tidak merasakan bahawa ‘himpunan ramai manusia’ seperti itu penting kerana mereka sudah dibiasakan dengan tekanan pemerintah untuk menyulitkan acara-acara besar politik seperti itu. Bagi BN selaku pemerintah mereka bebas mengadakan himpunan besar di mana-mana atas platform kerajaan yang disalahgunakan. Pakatan Rakyat kena sedar bahawa apa yang dilakukan oleh BN itu sangat berkesan dalam membina gelombang sokongan.

PR biasa mengadakan ceramah umum yang besar di waktu malam, menghimpunkan ribuan manusia tetapi ia kurang efisien menggerakkan dalam gelombang kerana agak eksklusif dari masyarakat awam yang banyak berinteraksi pada waktu siang.

Di Malaysia rapat umum politik diharamkan sama sekali teapi dalam negara di mana demokrasinya subur, bersih lagi adil; semua parti politik berlumba-lumba memilih mengadakan rapat umum.

Walaupun seorang pemimpin bercakap seorang diri di studio tetap boleh didengari oleh berjuta rakyat tetapi ia hanya berupaya membentuk gelombang frekuensi radio bukan gelombang kesatuan pemikiran rakyat. Hanya himpunan besar umpama rapat umum yang berkesan membina gelombang.

Jangan nafikan bahawa Himpunan Bersih 2.0 menjadi penyumbang yang sangat besar terhadap gelombang kebangkitan dalam PR sendiri yang sekian lama dirundung duka nestapa dengan serangan bertubi-tubi BN. Pasca Bersih 2.0 tiba-tiba alam maya Malaysia menjadi meriah dengan kehadiran reaksioner maya yang aktif berkali ganda dari sebelumnya. Begitu juga kehadiran aktivis bawahan PR ke program anjuran parti masing-masing tambah bersemangat dari biasa.

PR mempunyai empat buat negeri di mana sebahagian besar tanahnya adalah di bawah penguasaan negeri. Jadikan negeri-negeri ini sebagai tapak mula melancarkan gelombang. Tidak semestinya perhimpunan tidak berlesen yang mencabar pihak berkuasa, gunakan perhimpunan halal. Tidak semestinya himpunan politik tetapi himpunan yang asal saja tampak imej kerajaan negeri dan pemimpin politik pihak yang memerintah negeri. Sebelum ini pun himpunan seperti itu sudah biasa diadakan, tetapi sekarang ia perlu diperkasakan berkali ganda bagi membantu pergerakan gelombang.

Contohnya kalau rumah terbuka Aidil Fitri Menteri Besar tahun lalu berjaya menghimpunkan 50 ribu orang, tahun ini rancang supaya kehadirannya 100 ribu. Biar sesak satu bandar, biar rakyat menjaja di mana-mana ramainya orang berkunjung ke rumah Menteri Besar. Bak kata Ahmad Shabery Cheek sewaktu memberi taklimat dalaman parti semasa dalam pembangkang dulu; naluri manusia akan memilih restoran yang ramai pengunjung berbanding yang lengang dari pengunjung, justeru parti politik yang mahu mendapat sokongan rakyat mesti membina persepsi di kalangan rakyat bahawa ‘partinya disokong ramai orang’.

Satu lagi gerakan gelombang yang berkesan ialah ‘cakap-cakap di kali lima’. Gelombang yang tidak dirancang ini pernah berlaku di kalangan rakyat terutamanya orang Melayu menjelang pilihanraya umum 1999. Isunya Anwar dizalimi. Hasilnya pembangkang Melayu bertambah kuat menyapu 27 kerusi Parlimen di samping PAS menang di negeri dominan Melayu iaitu Kelantan dan Terengganu. Soalnya bagaimana mengerakkan gelombang bawahan supaya rakyat boleh bercakap mengikut alunan gelombang. Parti perlu mengurus gerakan gelombang ini.

‘Sejahtera dikekal, pincang diranap’ menjadi tema gerakan gelombang bersepadu di Kedah. Maksudnya cukup mudah iaitu mengekalkan kerajaan PR Kedah yang membawa misi Kedah Sejahtera di samping meroboh dan meranapkan kerajaan BN Pusat yang memerintah penuh dengan kepincangan. Gelombang perlu digerakkan di semua negeri, bukan Kedah sahaja kerana PR bercita-cita menawan Putrajaya.

http://warta-utara.blogspot.com

Tiada ulasan: