Selasa, 16 Ogos 2011

Seorang rentung, 3 cedera dalam kebakaran

BERNAMA


KOTA BHARU: Seorang lelaki rentung manakala tiga lagi rakannya cedera setelah Proton Wira yang mereka naiki terbabas lalu terbalik dalam kemalangan di Kampung Jerus, Bukit Abal di Pasir Puteh, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya, berkata mangsa yang rentung selepas kereta itu terbakar dalam kejadian 10.58 malam itu dikenali sebagai Tuan Mohd Shamsul Tuan Yahya, 35, yang berasal dari Bukit Abal, Pasir Puteh.

"Mangsa adalah pemandu kereta berkenaan yang terperangkap selepas kereta itu terbakar manakala tiga lagi rakannya bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang ramai," katanya di sini, hari ini.

Kaharuddin berkata mereka yang cedera itu dikenali Mohamad Ikram Ismail, 27, yang merupakan pemandu Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Mohamad Nazirul Munir Mohamad Nasir, 18, seorang mekanik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Abal, Zuraidi Zakaria, 17.

Katanya siasatan mendapati kereta berkenaan yang datang dari arah Pasir Puteh dikatakan cuba mengelak kenderaan lain yang mahu memasuki simpang.

Katanya pemandu kereta berkenaan kemudiannya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik ke cerun jalan yang kemudiannya terbakar.

"Bomba bersama lima anggota tiba tidak lama selepas itu dan api yang begitu marak menyukarkan kerja menyelamat," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat manakala rakannya itu juga turut dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.

Seorang saksi, Juhaili Abu, 42, berkata beliau melihat kereta berkenaan hilang kawalan lalu terjunam ke cerun jalan berkenaan.

"Saya terdengar satu letupan yang kuat sebelum melihat api membakar kereta berkenaan dan orang ramai cuba memberikan bantuan," katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata kesemua mereka yang berasal dari Kampung Bukit Abal itu hendak ke Kampung Pak Badol untuk mencari kedai makan.

Tiada ulasan: