Ahad, 7 Ogos 2011

Sesi daftar pelajar baru IPTA diteruskan meskipun masih suasana Aidilfitri

THE MALAYSIAN INSIDER

TEMERLOH — Sesi pendaftaran penuntut baru Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) minggu pertama bulan depan akan diteruskan walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia bagi memastikan keseluruhan aktiviti dan jadual pengajian pada sesi akademik tersebut tidak terjejas.

“Pada kita (Kementerian Pengajian Tinggi), kita hendak teruskan pada tarikh tersebut sebab sukar juga kalau kita lambatkan nanti, ada yang lain-lain juga yang akan lambat,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan peringkat Pahang di Kampung Paya Luas di sini.

Dipetik Bernama Online, beliau bagaimanapun berkata, pihak universiti boleh menganjakkan sesi berkenaan pada tarikh lain mengikut kesesuaian masing-masing.

“Ada masanya universiti ini kreatif, dia mungkin lambatkan sehari dua, selepas itu ada kelas ganti, ia tidak menjadi masalah besar... terserahlah kepada universiti masing-masing sama ada teruskan pada jangka masa yang ditetapkan, namun demikian saya rasa kita dah puas berhari raya beberapa hari,” katanya.

Saifuddin berkata, setakat ini, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan atau sungutan daripada ibu bapa dan pelajar mengenai tarikh pendaftaran berkenaan.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini mengumumkan penyelarasan kalendar akademik IPTA negara yang menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik berbanding pada Jun sebelum ini.

Di bawah kalendar baru, kementerian telah menetapkan tarikh pendaftaran pelajar baru bagi sesi akademik 2011/2012 pada 25 Julai, namun sedikit perubahan dilakukan di mana sesi pendaftaran pelajar baru ditetapkan pada minggu pertama September 2011 berikutan tempoh kuliah yang singkat antara sesi pendaftaran sehingga cuti Aidilfitri.

Tiada ulasan: