Rabu, 17 Ogos 2011

Setiausaha Pemuda MIC digantung 12 bulan

BERNAMA


Setiausaha Pemuda MIC C Sivarraajh digantung daripada jawatannya selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Disiplin MIC kerana mengkritik keputusan kepimpinan parti itu menerima beberapa anggotanya yang dipecat pada April tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC Tan Sri K S Nijhar berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat malam tadi.

"Jawatankusa Disiplin bermesyuarat malam tadi dan mengambil keputusan menggantung Sivarraajh selama 12 bulan. Bagaimanapun, beliau boleh merayu dalam masa 14 hari," katanya dalam kenyataan di ibunegara hari ini.

Sivarraajh dilaporkan mengemukakan aduan kepada Pendaftar Pertubuhan selepas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu mengambil keputusan menerima semula tiga pemimpin berkenaan - bekas timbalan ketua pemuda V Mugilan dan dua bekas anggota Jawatankuasa Pusat KP Samy dan G Kumar Amaan.

Mugilan, Samy dan Kumar Amaan dipecat apabila mereka memulakan kempen untuk menyingkirkan presiden MIC ketika itu Datuk Seri S Samy Vellu, berikutan pemecatan mereka dan seterusnya menubuhkan pergerakan dikenali sebagai Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Bagaimanapun, selepas Samy Vellu menyerahkan teraju kepimpinan MIC kepada Datuk G Palanivel pada Disember tahun lepas, ketiga-tiga mereka diterima semula menganggotai parti itu dan dikembalikan jawatan masing-masing.

Ini menyebabkan Sivarraajh menuduh Jawatankuasa Kerja Pusat MIC telah bertindak melanggar perlembagaan parti.

"Mengikut Akta Pertubuhan, tuduhan itu boleh memberi kesan serius terhadap parti. Beliau memanggil sidang akhbar untuk membuat tuduhan tersebut dan ini sesuatu yang kami tidak boleh terima," kata Nijhar.


Tiada ulasan: