Rabu, 17 Ogos 2011

SPR perlu laksana tuntutan Bersih selepas JK Khas Parlimen

KEADILAN DAILY



PETALING JAYA:
Bersih menuntut kerajaan melaksanakan reformasi sistem pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, kata ahli jawatanuasa pemandu, Maria Chin Abdullah.

Menurut Maria, cadangan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen bagi mengkaji cadangan itu boleh dibuat selepas pembentangan bajet 2012 yang dijadualkan 3 Oktober depan.

“Dengan penubuhan jawatankuasa ini kita harap ia bukan lagi alasan untuk melengahkan reformasi sistem pilihan raya,” kata beliau ketika mengadakan sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Maria berkata, sekiranya jawatankuasa khas parlimen itu dibentuk Oktober 2011, laporannya boleh dikeluarkan pada penghujung Mac 2012.

“Selepas sebulan laporan dikeluarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR ) mesti melaksanakan semua cadangan-cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas Parlimen itu sebelum pilihan raya umum atau apa-apa pilihan raya diadakan,” kata Maria.

Maria berkata, jawatankuasa itu perlu mengeluarkan laporan melalui dua peringkat, dengan peringkat pertama diberi keutamaan kepada hal-hal segera dan berkepentingan.

Menurutnya, 9 perkara yang disenaraikan dalam reformasi segera perlu dikeluarkan dalam tempoh 3 bulan merupakan tuntutan asal Bersih dengan satu tambahan, iaitu cadangan had kelayakan mengundi pada umur 18 tahun.

“Peringkat kedua lebih berjangka panjang dan perlu dikeluarkan dalam tempoh setahun.
“Jawatankuasa khas Parlimen perlu melapor dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengundian sepanjang lebih 50 tahun di negara ini,” kata Maria.

Antara perkara yang dicadangkan untuk dibentangkan selepas setahun termasuk Akta Kerajaan Sementara (caretaker government) dan Pentadbiran Bebas (Adminisrative Neutrality), mengembalikan pilihan raya majlis tempatan dan rasuah pilihan raya.

“Kerajaan mempunyai mekanisme, keupayaan dan teknologi untuk melaksanakan,” kata Maria sambil menegaskan kembali lapan tuntutan Bersih yang mampu dilaksana kerajaan bagi peringkat tiga bulan pertama.


Dalam pada itu beliau menjangkakan jawatankuasa khas Parlimen bagi reformasi sistem pilihan raya akan terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Kita sebagai warga masyarakat sivil akan terus mainkan peranan untuk berhubung dengan jawatan kuas khas dan memantau tuntutan kita,” jelas Maria

Kelayakan mengundi 18 Tahun

Sementara itu seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat menambah, selain lapan tuntutan, beliau turut mencadangkan supaya kelayakan mengundi di negara ini diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun.

“Seseorang yang berumur 18 tahun telah bekerja dan mempunyai lesen kenderaan. Mengapa tidak mereka dibenarkan mengundi?

“Sekiranya seseorang yang berumur 18 tahun dibenarkan untuk menjadi tentera, polis, memegang senjata dan sanggup berkorban untuk negara, tidak salah sekiranya mereka untuk mengundi. Jangan perkecilkan peranan mereka ,” kata Chin Huat.

Cadangan radikal menurunkan had kelayakan mengundi itu turut disokong Menteri dari Umno, dakwa Wong Chin Huat.

Tiada ulasan: