Rabu, 24 Ogos 2011

Sudah lepas dua halangan, Kapten Kudus menanti kes saman Kayveas



Abdul Kudus menunjukkan keratan akhbar ketika berhadapan dengan kontroversi dakwaan rasuah lapan tahun lalu. — Foto oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR — Selepas menang dalam kes menyaman Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) minggu lalu, Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad kini menanti dengan penuh harapan prosiding kes saman fitnah RM100 juta terhadap Datuk M Kayveas.

Sehubungan itu, bekas pengarah penguat kuasa MPAJ ini berharap kes membabitkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) ini akan dipercepatkan.

Abdul Kudus, 49, telah menuduh Kayveas memfitnahnya menerima rasuah mencecah puluhan ribu ringgit.

“Dia tuduh saya macam-macam... dia juga tuduh saya terima rasuah RM70,000 sebulan. Kalau saya terima RM70,000 hidup saya tidak akan jadi macam ini,” katanya yang menampung perbelanjaan keluarga dengan memandu teksi.

Abdul Kudus dibebaskan daripada 24 pertuduhan rasuah September lalu telah memfailkan saman fitnah terhadap Kayveas pada Mei 2004. Namun pada awalnya ia telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 2009 selepas Kayveas memfailkan bantahan.

Awal tahun ini, Mahkamah Rayuan menerima saman fitnah itu.

Dalam kes berasingan, Jumaat lalu Mahkamah Rayuan memutuskan pemecatan Abdul Kudus sebagai bekas pengarah penguat kuasa MPAJ lapan tahun lalu sebagai tidak sah.

Mahkamah juga mengarahkan MPAJ membayar tunggakan gaji dan emolumen selama tujuh bulan, berjumlah RM3,015 sebulan, ekoran pemecatannya pada 11 Jun 2003.

“Saya mahu kes saman ini disegerakan... saya mangsa fitnah, saya tidak gentar untuk berdepan dengan dia...saya anak Melayu dan saya bersedia untuk mati demi keadilan,” kata Abdul Kudus.

Ketika isu melibatkan dirinya muncul, Kayveas merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada 2003, Kayveas mendakwa Abdul Kudus membocorkan maklumat penguatkuasaan undang-undang dan menerima RM70,000 sebulan sebagai imbuhan.

Sementara itu peguam Abdul Kudus, M. Manoharan berkata prosiding saman fitnah terhadap Kayveas berkemungkinan akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Tarikh prosiding kes ini kita belum tahu tapi ia akan berjalan kerana Mahkamah Rayuan menerima semula kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kudus juga berkata beliau sedia mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana agensi penguatkuasaan termasuk dari kerajaan negeri Selangor atau syarikat swasta sekiranya khidmatnya diperlukan.

Namun katanya, setiap tawaran itu akan diteliti dengan sebaik mungkin kerana tidak mahu “pisang berbuah dua kali.”

“Kalau ada tawaran saya akan pertimbangkan, tidak kisah dari mana... kalau dari kerajaan negeri Selangor, kerajaan pusat atau syarikat swasta saya akan pertimbangkan dulu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam perbualan ringkas dengan The Malaysian Insider, Abdul Kudus berkata beliau berharap akan diterima kembali untuk bertugas di MPAJ.

“Saya tahu jawatan itu sudah diisi, tapi saya berharap mungkin satu hari nanti saya akan kembali ke sana.

“Tapi kalau mana-mana tawaran lain saya akan pertimbangkan dulu,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan pemecatan tidak sah, Abdul Kudus berkata ia sudah dijangka.

“Saya sudah jangkakan keputusan itu, mahkamah sebelum ini bebaskan saya dari tuduhan rasuah maknanya saya tidak bersalah.

“Ini semua berkat doa dan tawakal saya kepada Allah,” katanya.

Abdul Kudus juga berkata disebabkan tuduhan rasuah dan fitnah sehingga kini masih tiada syarikat yang mahu mengambil beliau bekerja.

“Mana ada orang nak terima saya bekerja bila saya dituduh macam-macam dan saya harap dengan keputusan terbaru ini dapat memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat.

“Jangan menghukum kalau tidak tahu perkara sebenar dan itu yang terjadi kepada saya,” katanya.

Tiada ulasan: