Ahad, 14 Ogos 2011

Syarikat Pengurusan Ubah Suai Peralatan Biometrik Perlu Bayar Ganti Rugi

BERNAMA

PUTRAJAYA: Syarikat pengurusan yang didapati mengubah suai peralatan biometrik untuk mendaftar pendatang asing tanpa izin akan dikehendaki membayar ganti rugi kerosakan alat itu, kata Timbalan Kanan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Beliau berkata tindakan itu sejajar dengan perjanjian pelantikan syarikat berkenaan dan wang ganti rugi kerosakan itu akan ditolak daripada cagaran RM5,000 yang dikenakan terhadap syarikat yang menyertai program berkenaan.

"Saya tak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian (mengubah suai alat berkenaan), tapi kami sedang menyiasatnya," kata beliau kepada pemberita selepas mengiringi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Atiqur Rehman melawat Jabatan Imigresen di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Rabu lepas, dalam kenyataannya Alwi berkata banyak syarikat yang dilantik untuk menjayakn program pendaftaran dan pemutihan pendatang asing yang dikenali sebagai 6P, didapati mengubah suai alat biometrik kerajaan dan polis akan menjalankan siasatan mengenainya. Katanya kira-kira 600 set alat itu didapati telah diubah suai dan tidak lagi menepati spesifikasi yang ditetapkan kerajaan.

Pada sidang akhbar sama, Atiqur berkata kerajaan Bangladesh menyokong program itu dan sedia memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia di mana perlu.

Tiada ulasan: