Rabu, 17 Ogos 2011

Timbalan Speaker: Terlalu suntuk panggil sidang khas, tak perlu gopoh


KUALA LUMPUR — Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah membentuk jawatankuasa pilihan khas bagi membincangkan soal sistem pilihan raya tidak perlu terlalu tergesa-gesa memandangkan Parlimen akan bersidang mulai awal Oktober ini.

Selain itu kata beliau, sudah tiada masa untuk mengadakan sidang khas Parlimen, sebagaimana diminta oleh Pakatan Rakyat, sebelum sambutan Aidilfitri kali ini.

“Tinggal lagi dua minggu lagi sebelum Aidilfitri, kita tiada masa,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Malah kata Wan Junaidi (gambar), beliau tidak nampak “logik” sidang khas perlu diadakan sekarang memandangkan mengikut jadual asal, Parlimen akan bersidang mulai 3 Oktober.

Kerajan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober.

“Usul untuk mengadakan sidang khas perlu dikemukakan dua minggu lebih awal, dan kemudian kita memerlukan satu minggu untuk mengaturkan urusan-urusan persidangan... jadi, ia akan mengambil masa tiga minggu.

“Bulan depan ada musim perayaan (sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan) dan disusuli dengan jadual sidang Parlimen yang akan bermula awal Oktober ini... jadi saya tidak nampak logik dan rasional memanggil sidang khas,” kata beliau lagi.

Mengikut peraturan mesyuarat, jawatankuasa pilihan khas hanya boleh dibentuk menerusi usul yang dibawa ketika Parlimen bersidang.

“Jika kerajaan mahu membawa usul, maka mereka boleh membawa ketika hari pertama apabila Dewan Rakyat bersidang, mengambil kira faktor masa, kita tidak perlu tergesa-gesa,” kata Wan Junaidi yang menyifatkan perkara yang hendak dibincang juga merupakan isu penting melibatkan kepentingan rakyat.

“Ini isu penting melibatkan rakyat, kita perlu membincangkan dengan mendalam dan membuat keputusan kolektif,” katanya lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook berkata, sayap itu mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam kerana ia membuktikan akhirnya pentadbiran beliau terpaksa tunduk kepada permintaan rakyat yang dijana melalui perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu.

“Ini merupakan kemenangan awal hasil daripada kebangkitan rakyat menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil,” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Namun katanya, Najib seharusnya memanggil sidang khas Dewan Rakyat sebelum Aidilfitri untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut dan tanpa satu sidang khas, Parlimen terpaksa tunggu sehingga 3 Oktober untuk melaksanakan penubuhannya.

Selain itu kata beliau, lapan tuntutan asal Bersih 2.0 dijadikan sebagai asas “terma-terma rujukan” bagi jawatankuasa tersebut.

Loke menambah, jawatankuasa itu perlu diberi masa tiga bulan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengumpul pandangan awam dari seluruh lapisan masyarakat.

Semalam, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Mengulas lanjut, kata Wan Junaidi, jika jawatankuasa pilihan khas itu ditubuhkan kelak, ia seharusnya membincangkan isu sistem pilihan raya ini dengan mendalam dan terperinci.

“Jika kerajaan hendak membawa usul, perkara itu boleh dibincangkan pada hari pertama sidang Parlimen, pada 3 Oktober,” kata Wan Junaidi.

Sehubungan itu Wan Junaidi juga berkata, beliau menjangkakan jawatankuasa pilihan khas akan memanggil masa sehingga setahun untuk menghalusi isu yang menjadi fokus perbincangan.

“Ini isu penting, menyentuh kepentingan. Lebih baik kita membincangkan dengan mendalam, melibatkan semua pihak... misalnya Bersih, pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Peguam, persatuan madani selain inkuiri awam.

“Berdasarkan pengalaman jawatankuasa pilihan khas tahun 2004, yang membincangkan Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, kita mengambil masa hampir setahun... jadi mengapa kita perlu tergesa-gesa, hanya membincangkan di kalangan ahli Parlimen, siap dalam dua tiga bulan, perbincangan bukan hanya melibatkan ahli-ahli Parlimen,” kata Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong.

Beliau juga berkata jika jawatankuasa itu ditubuhkan bagi membincangkan pilihan raya, ia merupakan kali pertama dalam sejarah Parlimen.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah adalah yang ketiga diwujudkan dalam sejarah negara selepas merdeka.

Kali pertama ia diwujudkan ialah pada sekitar 1970-an bagi mengkaji soal perkahwinan dan perceraian penduduk bukan Islam dan yang kedua ialah pada 1985 bagi mengkaji undang-undang jenayah yang berkaitan dengan dadah.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah menyelesaikan kerjanya pada 2006.

Tiada ulasan: