Sabtu, 27 Ogos 2011

Tun Zaki sahkan bersara 12 September

KL TODAY



Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi (gambar) tidak mahu menyambung perkhidmatannya selama enam bulan lagi selepas beliau mencapai usia persaraan 66 tahun pada 12 Sept ini.Dalam satu temubual eksklusif dengan BERNAMA pada Jumaat, beliau memberikan dua sebab membuat keputusan itu.

“Pertama, saya berjanji kepada isteri bahawa saya tidak akan berkhidmat lebih lama daripada sepatutnya, dan lebih penting lagi, saya yakin pengganti saya akan mampu melaksanakan tanggungjawab ini, mungkin lebih baik daripada saya,” katanya.

Ketika ditanya rancangannya selepas bersara nanti, Zaki berkata beliau akan memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya semasa menjadi peguam sebelum dilantik menyertai badan kehakiman.

“Yang pastinya, saya tidak akan menjalankan tugas sebagai peguam,” katanya.

Mesej beliau kepada penggantinya ialah : “Sentiasa tambah baik (badan kehakiman).”

“Tetapi nasihat detail akan saya bisikkan kepada dia. Saya tidak percaya kepada nasihat secara terbuka,” kata Zaki.

Sejak menjadi Ketua Hakim Negara pada Oktober 2008, beliau telah mengorak pelbagai transformasi termasuk penggunaan teknologi moden dan kaedah alternatif menyelesaikan pertikaian termasuk melalui proses pengantaraan.

Perubahan-perubahan yang diperkenalkannya terbukti berjaya sehingga bilangan kes tertunggak semakin berkurangan.

Ketika ditanya mengenai perasaannya meninggalkan bidang kehakiman, Zaki yangmenerima cucu pertamanya 10 hari lepas, berkata ianya sesuatu yang sedih bercampur gembira.

“Sedih kerana saya sudah lima tahun di sini dan saya mempunyai ramai kawan dan juga rakan dalam kalangan hakim.

“Gembira kerana saya akan meninggalkan badan kehakiman dalam kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Zaki, yang tidak dapat menyembunyikan rasa gembira beliau dengan kelahiran cucu perempuan, Sofia Azmi binti Razif, telah menunjukkan gambar bayi itu yang terdapat dalam iPad beliau.

Tiada ulasan: