Khamis, 25 Ogos 2011

Ulama memandu, bukan menumpang

"Bila kita guna istilah terompah kayu memberi gambaran bila perlu orang pakai, bila tak orang biar," kata Tuan Ibrahim Tuan Man.



SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan para ulama dalam arena politik ini perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan bukan dijadikan ‘terompah kayu’, digunakan bila perlu sahaja.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai menjawab kenyataan PAS sebelum ini yang menggelarkan ulama Umno ibarat ‘terompah kayu’ dalam parti itu.

Menurut beliau, ulama berperanan memandu para pemimpin dan bukannya menumpang untuk mengesahkan sesuatu atau menangani sesuatu isu atau permasalahan.

“Ulama ada tanggungjawab, tapi ada parti yang tidak beri pengiktirafan kepada ulama. Dalam PAS kita sangat memuliakan golongan ulama, kita ada Majlis Syura dan Dewan Ulama.

“Ulama duduk dalam politik bukan menumpang tapi untuk sahkan sesuatu. Ulama pandu pemimpin dan sifatnya memandu. Bila kita guna istilah terompah kayu memberi gambaran bila perlu orang pakai, bila tak orang biar.

Macam toilet bila perlu sahaja kita guna,” katanya ketika sesi wacana ‘Ulama politik untuk politik dakwah atau parti’ di Auditorium

Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Turut serta dalam wacana itu termasuklah bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin selaku moderator, dan ahli panel yang disertai Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya.

Pemerintah, ulama dan rakyat

Fathul pula berpendapat soal pengiktirafan hanya isu kedua, namun persoalan isu utama yang timbul adakah ulama menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya atau tidak.

Menurut Fathul, ada tiga pemerintah berperanan untuk menyatupadukan akidah umat Islam. Pemerintah, ulama dan rakyat adalah tiga pihak yang perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyatupadukan akidah umat Islam,” katanya di hadapan 500 orang yang hadir.

Mengulas mengenai tindakan ‘gelar-menggelar’ oleh Harussani pula, beliau menyifatkannya sebagai haram.

Beliau berkata sama ada ulama mahupun penceramah kini lebih suka mengutuk ketika menyampaikan ceramah masing-masing.

“Dalam kedua-dua parti semua serupa. Ini yang jadi karut. Malah saya anggap kontroversi bila isu poco-poco hingga ada yang menggelarkan saya anjing.

“Gelar-menggelar haram tak kira terompah atau apa sahaja gelaran. Malah sekarang banyak penceramah bagi tazkirah mengutuk orang,” katanya.

Tiada ulasan: