Sabtu, 13 Ogos 2011

Umno jumpa SPR bincang p’raya bersih hanya jenaka

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU: Langkah pimpinan Umno Barisan Nasional untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil disifatkan sebagai tidak 'genuine’.

Bahkan Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa langkah itu sebagai palsu, wayang dan lawak jenaka.

“Apa saja yang dibuat oleh UMNO-BN, bagi saya itu adalah satu ‘wayang’, pada hal apa yang dibuat oleh Umno-BN, kita boleh buktikan, di belakangnya adalah arahan daripada pimpinan Umno-BN itu sendiri.

“Jadi kalau mereka hendak jumpa SPR bagi mewujudkan satu pilihan raya bersih, itu satu yang tidak ‘genuine’, palsu, wayang dan lawak jenaka,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada peserta Auto Show Himpunan Remaja Ramadhan di Qariah Ramadhan Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, malam tadi.

Beliau mengulas perkembangan terbaru BN akan mengadakan pertemuan dengan SPR bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam membayangkan mahu mengadakan perundingan dengan SPR bagi membolehkan merumus kaedah yang boleh menjamin pilihan raya tidak boleh dipertikaikan.

Mengulas fenomena yang berlaku dalam negara mutakhir ini yang didakwa membabitkan pimpinan tertinggi Umno BN namun sering dinafikan dan itu perlu kepada perdebatan, Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berkata pihak Pakatan Rakyat bila-bila masa saja bersedia untuk berdebat (dalam isu berkenaan) kerana memang wajar.

“Namun saya tidak yakin pihak Umno BN bersedia menyahut cabaran,” katanya.

Mengulas isu pemastautin tetap (PR) yang bertukar kepada pemegang Mykad dan seterusnya tersenarai sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih SPR, beliau berpendapat perkara itu tidak begitu komplikated untuk difahami.

Ini, katanya kerana untuk memproses kewarganegaraan perlu melalui beberapa prosedur dan tata cara tertentu.

“Kalau sekirnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses permohonan kewarganegaraan mengikut tata caranya yang ditetapkan, itu tidak menjadi masalah.

“Namun yang kita lihat sekarang seolah-olah ada perancangan dan konspirasi pendaftaran atau pun kelulusan permohonan kewarganegaraan itu dan ada tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contohnya, yang dibuktikan oleh kita ialah untuk tujuan pilihan raya.

“Ini kerana apabila penama berkenaan dapat kewarganegaraan, maka orang itu seolah-olah dipaksa untuk didaftarkan sebagai pemilih dan sudah tentulah memihak kepada pihak Kerajaan Persekutuan yang meluluskan kewarganegaraan itu.

“Bagi saya, beban untuk buktikan bahawa tidak berlaku penyelewengan itu JPN mestilah memberi penerangtan yang jelas,” katanya.

Beliau mendakwa perkara yang berlaku sekarang adalah perancangan yang terperinci Umno BN sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka pada bila-bila masa, dan Umno BN nampak sokongan pengundi berdaftar yang ada itu menjejaskan sokongan kepada mereka.

“Oleh sebab itu mereka terpaksa buat apa saja untuk mencari undi yang pasti oleh kerana di Sarawak, yang dianggap ‘fix deposit’ kepada Umno BN itu pun sudah tidak terjamin lagi,” katanya.

Tiada ulasan: