Isnin, 15 Ogos 2011

Umno terus tabur fitnah di bulan Ramadhan

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Sikap para pemimpin Umno amat dikesali apabila mereka seperti tidak tahu menghormati ketibaan bulan Ramadan, sehingga tergamak membuat fitnah terhadap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Lebih dikesali apabila fitnah yang dibuat oleh mereka itu bukannya berkurangan, malah makin bertambah dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berkata, setiap rakyat negara ini boleh memerhatikan dengan jelas perlakuan buruk para pemimpin Umno itu dengan mengikuti sessi fitnah yang dicipta oleh mereka ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, fitnah yang dibuat oleh pemimpin Umno terhadap Anwar khususnya membabitkan kes liwat siri pertama diperhebatkan oleh mereka pada bulan Ramadhan.

Katanya, akibatnya, Datuk Seri Anwar terpaksa menerima kesan buruknya sehingga merengkuk dalam penjara beberapa tahun.

"Kini fitnah yang dibuat oleh mereka terhadap Anwar dilanjutkan pula unttuk kes liwat siri kedua dan semakin menjadi-jadi tanpa mempedulikan ketibaan bulan Ramadhan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam masa yang sama, menurutnya, mereka turut mencipta fitnah terhadap PAS walaupun kesemua fitnah yang dibuat oleh mereka itu amat jelas kepada pelbagai pihak sebagai tidak berasas.

Katanya, antara fitnah terbaru mereka terhadap PAS termasuk dengan mengatakan para pemimpin PAS berbalah sesama sendiri berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengadakan pemeriksaan ke Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) di Petaling Jaya, Selangor pada 3 Ogos lalu.

Selain itu, katanya, mereka juga turut menuduh PAS tunduk kepada DAP dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal agama dan dalam kes itu, sehingga dikatakan takut mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan aqidah umat Islam sendiri.

"Kesemua tuduhan itu adalah tuduhan dan fitnah amat berat dan amat jahat yang sememangnya tidak benar sama sekali.

"Sebaliknya, dasar perjuangan PAS untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen dan menegakkan kebenaran tidak pernah berubah dan PAS juga tidak pernah tunduk kepada sebarang pihak berhubung dasar perjuangannya.

"Bezanya, PAS tidak seperti Umno yang sanggup memperkudakan parti-parti lain dalam komponen BN terutama MCA dan MIC untuk kepentingannya sendiri.

"Selain itu, PAS juga tidak seperti Umno yang begitu mudah mengeluarkan kenyataan tidak berasas. Jadi untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu,PAS perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan keterangan dari GMDU dan Jais terlebih dahulu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pemimpin Umno agar memahami realiti itu dan tidak terus menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

"Sekiranya mereka tidak berubah sikap dengan terus membuat fitnah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan, fitnah tersebut pasti akan berbalik kepada mereka sendiri," ujar beliau.

Tiada ulasan: