Rabu, 31 Ogos 2011

Unit Selamat Akidah sentiasa bersedia

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Unit Selamat Akidah sentiasa peka terhadap aduan dan sedia membantu penganut Islam bagi menyelamatkan akidah dan maruah daripada tergadai.

Buktinya, beberapa pegawai unit itu, melayan dengan baik dan mengangkat panggilan telefon serta tidak lokek berkongsi maklumat ketika dihubungi Sinar Harian, walaupun ketika itu mereka telah kembali ke kampung halaman masing-masing.

Mereka juga agak terkejut dengan penyamaran dilakukan wartawan Sinar Harian, bagi menguji tahap keberkesanan unit yang ditubuhkan di bawah portfolio Exco Selangor, Datuk Hasan Muhammed Ali itu.

Pegawai Unit Selamat Akidah, Al-Hafiz Abdul Wahab berkata, pihaknya sentiasa bersedia bertindak, sekiranya mendapat maklumat mengenai isu murtad.

“Kami di Unit Selamat Akidah akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesempitan hidup. Objektif utama unit ini ditubuhkan ialah untuk mencegah murtad dan perkara yang menjurus ke arah itu.

“Kami bertindak mengikut arahan Datuk Hasan, pada saya, apa yang diketengahkan beliau adalah paling tepat dan ini adalah, inisiatif bersesuaian dengan keadaan dialami umat Islam kini,” katanya.

Seorang lagi pegawai unit berkenaan, Wildanul Syukri berkata, mungkin terlalu awal untuk memberikan maklum balas yang diterima mengenai unit ini dan meminta Sinar Harian menunggu tempoh yang sesuai dan mendapatkan ulasan daripada Hasan sendiri.

Tiada ulasan: