Isnin, 8 Ogos 2011

Wanita maut, dua cedera tanah runtuh Cameron Highlands

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands hari ini.

Kejadian pukul 5.45 petang itu membabitkan lima buah rumah penduduk kampung.

“Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini,” kata jurucakap polis Cameron Highlands dipetik Bernama Online.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam.

Laporan Bernama Online yang menyusul berkata tiga rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh hari ini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brinchang, dua rumah lagi yang terletak berhampiran turut mengalami kerosakan, tetapi hanya kerosakan kecil.

Ditanya sama ada tanah runtuh itu disebabkan oleh hujan, beliau berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian berkenaan.

“Mangsa yang cedera telah dikenal pasti sebagai penduduk Orang Asli. Namun, mangsa yang dipercayai terkorban masih belum dikenal pasti identitinya,” kata beliau.

Tiada ulasan: