Jumaat, 26 April 2013

3 lelaki direman bantu siasatan letupan di Nibong Tebal

SINAR HARIAN
3 lelaki direman bantu siasatan letupan Nibong Tebal
3 lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes letupan tempat ceramah BN Selasa lepas. - Foto Bernama
 
NIBONG TEBAL - Tiga lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kejadian letupan di tempat ceramah Barisan Nasional (BN) di Jawi di sini Selasa lepas.
 
Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Jaafar.
 
Polis menahan ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 25 dan 41 tahun itu di Georgetown, Bukit Mertajam dan Seberang Perai Selatan, kelmarin.
 
Kejadian letupan itu berlaku pada pukul 10.15 malam semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
 
Berikutan itu, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan berkenaan.
 
Polis mengesahkan bahan letupan yang digunakan dalam insiden itu ialah alat letupan rekaan (IED) dan percaya ia adalah perbuatan terancang sekumpulan profesional. - Bernama

Tiada ulasan: