Jumaat, 12 April 2013

6 lagi dicalon tanding KEADILAN S’wak, Nazib, Nicholas antara senarai

Oleh Aisha Geoffrey

KUCHING : Enam lagi calon KEADILAN diumum akan bertanding di Parlimen Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Ahmad Nazib
Ahmad Nazib

Pengumuman oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat pada sidang media di Hotel Grand Continental, Kuching, 12 tengahari tadi.

Semua yang dicalonkan itu adalah:

1. Ahmad Nazib Johari – Petrajaya (P194)
2. Zulrusdi Mohd Hol – Santubong (P193)
3. Thomas Laja – Kanowit (P210)
4. Joshua Jabeng – Selangau (P214)
5. Nicholas Bawin – Lubok Antu (P 203)
6. Cecilia Una – Betong (P204)

Joshua Jabeng
Joshua Jabeng

Ahmad Nazib merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri dan peguam syarie.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011, beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dan tewas kepada calon BN, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, dengan majoriti 2,800.

Zulrusdi ialah Timbalan Pegerusi KEADILAN Negeri. Beliau pernah bertanding di DUN Samariang pada PRN 2011 dan tewas kepada calon BN, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dengan majoriti 5,431.
Thomas adalah pesara guru, berasal dari Nanga Jagau kawasan pedalaman di Ngemah, Kanowit. Kanowit merupakan kawasan majoriti kaum Iban.

Joshia pula Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, juga pesara guru.

Sementara Nicholas adalah Pengerusi KEADILAN Batang Ai dan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal. Beliau kemudian menyertai KEADILAN pada Disember 2008.

Nicholas Bawin
Nicholas Bawin

Manakala Cecilia ialah Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Negeri.

Thomas Laja
Thomas Laja

Sebelum ini, lima calon KEADILAN diisytihar akan bertanding kerusi Parlimen Sarawak.

Mereka adalah Baru Bian mewakili Parlimen Limbang, Ali Biju (Saratok), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar), Abun Sui Anyit (Hulu Rajang) dan Roland Engan (Baram).

Senarai ini diumum Anwar di ibu pejabat parti, 20 Mac lalu.

Bermakna, 11 calon KEADILAN yang akan bertanding di Sarawak telah diumum. – NS

Tiada ulasan: