Selasa, 16 April 2013

80 peratus muka baru di Selangor, Zulkifli Noordin sah bertanding di Shah Alam

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) hari ini menyenaraikan hampir 80 peratus calon muka baru di negeri Selangor, lebih mengejutkan apabila bekas Ahli Parlimen (MP) PKR Zulkifli Noordin diumumkan sebagai calon di kerusi parlimen Shah Alam.

Pengumuman calon yang diadakan hari ini yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN negeri Selangor, sambil berharap pihak yang tidak tersenarai supaya akur dengan keputusan tersebut.

Dalam pengumuman pagi ini, Umno akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 35 kerusi dewan undangan negeri (Dun), MCA bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dun, MIC bertanding di empat kerusi Parlimen dan tiga Dun, Gerakan pula bertanding di satu kerusi Parlimen dan tiga Dun dan PPP pula akan bertanding di satu kerusi Dun.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo digugurkan pada pilihan raya kali ini, berkemungkinan kerana terpalit dengan masalah rasuah dan juga salah guna kuasa.

Antara muka baru yang dibariskan kali ini ialah Tengku Rethwan Tengku Mansor di Dun Seri Setia dan Nasarruddin M. Zin yang akan menentang penyandang MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dun Pelabuhan Klang.

Selain penampilan muka baru, beberapa muka lama juga antaranya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed (Sepang), Datuk Ahmad Nawawi M. Zin (Batu Tiga), Datuk Subahan Kamal (Taman Templer) dan lain-lain daripada 20 peratus keseluruhan calon.

Pengumuman Zulkifli di Shah Alam dilihat mengejutkan, tetapi BN tidak mempunyai pilihan selain menampilkan tokoh agama konservatif tersebut untuk merampas kerusi daripada penyandangnya Khalid Samad (PAS) serta memindahkan ketua bahagian Shah Alam, Ahmad Nawawi ke Batu Tiga.

 Zulkifli Noordin selepas menerima sijil calon dari Najib.Kehadiran Zulkifli di Shah Alam semakin kerap dan agresif memberikan ceramah sekitar Selangor terutamanya di Shah Alam menggunakan pentas Perkasa.

Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran PR dibawah Menteri Besar (MB) sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.

PR selepas pilihan raya umum 2008 mempunyai penguasaan yang ketara keatas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen.

Tempoh berkempen secara rasmi Pilihan Raya 2013 bermula pada 20 April dan hari mengundi jatuh pada 5 Mei.

Tiada ulasan: