Khamis, 18 April 2013

Azizan tidak kisah lawan sepupu

SINAR HARIAN

Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak kisah ditentang sepupu sendiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau dalam Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Azizan yang berkata dalam politik apa sahaja boleh berlaku, tidak menyifatkan pertembungan itu sebagai permusuhan yang boleh memutuskan perhubungan kekeluargaan.

Sepupunya Mohd Fadzillah Mohd Ali, 55, seorang arkitek, dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerai, dicalonkan BN untuk menentang Pesuruhjaya Pas Kedah pada pilihan raya umum kali ini.

Azizan, 69, memenangi Dun Sungai Limau sejak pertama kali bertanding di situ pada pilihan raya umum 1995.

Menteri Besar itu yang ditemui selepas mengumumkan calon-calon PAS Kedah pada PRU13 di Markas Pas Kedah dekat sini malam tadi, berkata Pas mengetengahkan ramai muka baru.

Katanya Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Datuk Taib Azamuddeen Md Taib dan Dr Mohd Hayati Othman, masing-masing menarik diri daripada mempertahankan kerusi Parlimen Baling dan Pendang manakala bekas anggota Exco Dr Mohamed Hamdan Khaleb (Tanjung Dawai), digugurkan.

Seorang lagi bekas anggota Exco Dr Ismail Salleh (Dun Alor Mengkudu), pula bertukar kerusi dan bertanding di Parlimen Jerlun untuk berhadapan setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Othman Aziz.

Mengenai ketidakhadiran DAP, Azizan berkata parti itu belum memutuskan calon daripada parti itu, dan ia tidak ada kaitan dengan penolakan permintaan mereka untuk bertanding empat kerusi Dun dan dua Parlimen. - Bernama

Tiada ulasan: