Jumaat, 12 April 2013

Bagi PAS, evolusi ‘jubah’ kepada ‘kot’ mantapkan imej pilihan raya

Oleh Mohd Farhan Darwis

 Pakar politik pula melihat evolusi yang dialami PAS itu bukanlah perkara baru. – Gambar fail KUALA LUMPUR — Suatu ketika dahulu mereka dikenali dengan imej “kopiah putih”, “serban”, dan “jubah”, perubahan sosiopolitik negara menyaksikan PAS, sebuah parti berteraskan perjuangan Islam merubah penampilan mereka bagi memastikan terus kekal relevan dan diterima segenap rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan warna kulit.

Mengakui evolusi tersebut berlaku, pemimpin PAS yang ditemui The Malaysian Insider menyatakan rasa bangga dengan kepimpinan mereka melakukan perubahan demi kelangsungan parti yang sebelum ini dianggap sebagai “jumud.”

“Kekuatan kepimpinan ulama kini disokong digandingi kekuatan profesional dan aktivis ... ini menjadikan PAS disegani kawan, dan ditakuti lawan,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Tidak seperti parti lain, PAS memulakan dengan agenda agama sejak mula ditubuhkan pada tahun 1951. Keputusan dalam parti dibuat bukan sahaja oleh biro politik akan tetapi terdapat juga Majlis Syura –terdiri daripada golongan yang mendapat pendidikan Islam – menjadi nadi kepada PAS.

Bekas pensyarah, Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang itu menegaskan perubahan dalam PAS juga menjadikan parti itu kekal “segar” tanpa mengenepikan Islam.

“PAS tampil dengan wajah dan citra sebuah badan politik Islam kontemporari dan sangat menyegarkan ... ianya kini merupakan gerakan Islam yang mendepani cabaran dan membawa dinamika perjuangan yang segar,” kata ahli akademik bertukar menjadi ahli politik dan menang pilihan raya pada 2008.

Sejak tahun lalu, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu juga dilihat aktif merekrut bekas pegawai tertinggi kerajaan menyertai mereka, malah sebahagian daripada mereka turut dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung 5 Mei ini.

Antara mereka adalah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Datuk Fauzi Shaari yang dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Larut.

Arkitek serta pakar jurubina Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Sementara itu, tokoh korporat Datuk Abdul Rahman Maidin telah dipilih untuk bertanding di kerusi parlimen Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Malah, PAS juga menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi penyokong bukan beragama Islam mereka, serta akan meletakkan calon daripada sayap berkenaan dalam Pilihan Raya 2013.

Pengerusinya Hu Pang Chow, seorang Cina beragama Kristian, telah dipilih untuk bertanding di Ayer Hitam, Johor.

“Kami perlu membuktikan bahawa kami mempunyai calon yang layak untuk menawan Putrajaya,” kata Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu dan menambah, kali ini PAS akan meletakkan lebih ramai calon tokoh korporat untuk menawan Putrajaya.

Sementara itu, pakar politik pula melihat evolusi yang dialami PAS itu bukanlah perkara baru, kerana ia juga berlaku di seluruh dunia termasuk kepada pertubuhan terkemuka Islam, Ikhwanul Muslimin di Mesir yang melantik Mohammed Morsi - yang merupakan seorang jurutera- sebagai pengerusi pertubuhan berkenaan.

“Ia membawa petanda positif kepada parti, kerana dengan penampilan dan imej yang berubah, ia tidak lagi dikenali sebagai parti kopiah putih dan jubah semata-mata,” kata penganalisis politik Asri Salleh merujuk kepada kopiah dan jubah yang sinonim dengan ahli PAS.

“Sebaliknya penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan, peguam, doktor, dan sebagainya sudah tentu akan membawa imej mereka sekali ke dalam PAS, sekaligus rakyat melihat imej baharu PAS,” kata pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Terengganu itu.

Selain melihat evolusi berkenaan juga membolehkan PAS menyertai PR, beliau bagaimanapun khuatir perubahan yang dialami PAS itu akan memberikan kesan kepada penyokong asal mereka yang berjuang untuk matlamat dan dasar yang berbeza sebelum evolusi mereka berlaku.

“Mungkin penyokong awal mereka ... penyokong di waktu zaman pemerintahan ulama dalam PAS ada yang tidak berpuas hati dan akan meninggalkan parti,” katanya, dan menambah, jika perkara itu berlaku, PAS berkemungkinan hilang pengaruh dan undi daripada penyokong awal mereka.

“Bagaimanapun, ia adalah lumrah bagi parti politik berubah ... jika Barisan Nasional (BN) ada transformasi, PAS pula ada evolusi.”

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, sikap keterbukaan parti itu menyebabkan rakyat dan golongan profesional memilih bersama PAS.

“Kita berevolusi tapi tidak berkompromi soal dasar ... dasar kita jelas dan mereka yang tidak selari dengan dasar itu kebiasannya akan meninggalkan parti, tetpi penyokong masih setia dengan parti,” katanya merujuk kepada beberapa nama besar PAS yang telah meninggalkan parti.

“Kita terbuka, malah Presden juga pernah ditegur dalam muktamar,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kita tegas dan berprinsip,” tambah beliau.

Tiada ulasan: