Ahad, 21 April 2013

Bandar Tun Razak: MB Selangor dicabar 4 termasuk 2 calon Bebas pro-BN

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
KUALA LUMPUR - Kemunculan dua calon Bebas pro-Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dilihat sebagai sesuatu di luar jangkaan, sekali gus memperlihatkan pertembungan empat penjuru.

Hampir 2,000 penyokong BN dan PKR terkejut dengan kehadiran Setiausaha Kerja Umno Bandar Tun Razak, Mohamad Sukeri Abdul Samad, 40, masuk ke pusat penamaan calon pada jam 9.30 pagi.

Terdahulu, pada jam 9.05 pagi Ketua Penerangan Umno Cawangan Raya Permai, Mokthar Salahudin, 64, hadir menyerahkan borang kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Omar Abas sebagai calon Bebas.

Kedua-dua individu ini mendapat perhatian media berikutan masih memegang jawatan dalam parti.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah bersedia dipecat oleh parti kerana bertanding atas tiket Bebas, Mokthar berkata, beliau hadir sebagai calon Bebas adalah dengan kerelaan hati dan merasakan beliau individu yang layak untuk memberi khidmat kepada rakyat Bandar Tun Razak.

"Saya baru buat keputusan dua tiga hari yang lalu, saya percaya saya mampu bekerja untuk rakyat.

"Rakyat mahukan orang tempatan sebagai calon dan saya adalah orang tempatan itu," katanya.

Menurut Sukeri, beliau berani tampil kerana sokongan padu daripada badan bukan kerajaan di Bandar Tun Razak yang mahukan anak tempatan sebagai calon dan beliau menegaskan bukan niatnya untuk mengkhinati sesiapa khususnya parti.

"Saya menyokong segala dasar kerajaan dan mahu terus bersama parti, tetapi keputusan ini dibuat kerana desakan rakyat yang mahu calon yang mereka kenali.

"Atas sokongan itulah saya berani ke hadapan pada hari ini, dan saya percaya saya mampu membantu rakyat di sini seperti mana yang telah saya lakukan sejak dari dulu lagi," katanya membawa misi Terus Mebantu Rakyat.

Sukeri pernah menjadi pegawai khas kepada Datuk Tan Chai Ho dan bakal bersaing dengan anak bekas majikannya iaitu Tan Kok Eng, 33 calon daripada Barisan Nasional (BN).

Kong Eng berkata, beliau mempunyai banyak perancangan untuk rakyat BTR khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya mahu memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat BTR, itu adalah misi saya.

"Saya banyak belajar daripada bapa saya tentang politik dan sejak kecil lagi dan telah 13 tahun saya bersama MCA," katanya yang merupakan calon pertama tiba di Dewan Mustika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Kong Eng yang ditanya adakah beliau kecewa dengan kemunculan dua calon Bebas daripada Umno berkata, pihaknya yakin rakyat bijak membuat pilihan dan berharap rakyat memberinya peluang untuk berkhidmat di Bandar Tun Razak.

"Ini satu demokrasi, saya tidak boleh larang sesiapa untuk jadi calon, kalau SPR kata dia layak, maka kita akan bertanding secara sihat," katanya.

Beliau adalah muka baru yang ditampilkan BN.

Pada penggal 2008, bapanya Tan Chai Ho bertanding atas tiket BN menetang Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR.

Bagaimanapun tewas dengan majoriti 2,515.

Sementara itu, Khalid Ibrahim hanya mewakilkan Ketua Cabang PKR, Azman Abidin menyerahkan borang pencalonannya.

Menurut Azman, Khalid tidak dapat hadir kerana perlu ke pusat penamaan calon di Dun Pelabuhan Klang.

"Kita percaya akan terus menguasai Bandar Tun Razak, walaupun berhadapan dengan pertembungan empat penjuru.

"Kita juga yakin sokongan padu masih diberikan oleh rakyat Bandar Tun Razak terhadap Tan Sri Khalid, misi kita adalah meneruskan kecemerlangan yang telah dilakukan sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai kebimbangannya terhadap landskap pengundi di Bandar Tun Razak memandangkan lebih 5,000 pengundi pos dan pengundi awal yang merupakan anggotan tentera.

"Kita percaya mampu mengawalnya, hanya 700 yang akan mengundi secara pos manakala selebihnya adalah pengundi awal.

"Kita juga ada strategi untuk mendekati mereka," katanya.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai hampir 90,993 pengundi yang mana majoritinya adalah Melayu.

Tepat jam 1030 pagi, Pegawai Pengurus SPR membuat pengumuman nama calon yang didahuli calon Bebas, Sukeri yang akan menggunakan lambang perahu, Mokhtar (bunga raya) manakala Kok Eng mewakili BN dan Khalid Ibrahim dengan logo PKR.

1 ulasan:

Mr Pent berkata...

BN tak pernah belajar..
tengok la kenapa Sg Besi dikeluarkan dari Seputeh dan di buat satu lagi parlimen baru atas nama Bandar Tun Razak? sbb nak kan majoriti Melayu. tapi bila hari pencalonan, kenapa letak wakil MCA? wakil UMNO mana?
sebab tu bila PKR letak je calon Melayu, terus mendapat sokongan. walaupun Tan Sri Khalid bukan lah nama popular di sekitar parlimen BTR ketika itu..