Ahad, 14 April 2013

Bandi Amuk, Ayai Ilusi duta kempen BN Parlimen JB

SINAR HARIAN

Bandi Amuk, Ayai Ilusi duta kempen BN Parlimen JB
Shahrir (tengah) menyerahkan kemeja-T kepada Nasabandi (dua, kiri) dan Zaharuddin (dua, kanan) pada sidang media di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
 
JOHOR BAHRU - Dua artis terkenal, Bandi Amuk dan Ayai Ilusi, menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi duta kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Baharu.

Bandi Amuk atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumaat dan Ayai Ilusi atau nama sebenarnya, Zaharuddin Kamaruddin, akan terlibat dalam aktiviti penerangan khususnya terhadap golongan muda di Parlimen Johor Baharu.

"Penyertaan Bandi Amuk dan Ayai Ilusi merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mendekati anak muda dan menarik sokongan mereka pada pilihan raya umum kali ini," kata penyandang kerusi Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada sidang media di pejabat Umno Bahagian Johor Baharu hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Johor Baharu berkata, pendekatan BN menggunakan selebriti dalam kempen  adalah berlainan dengan pembangkang yang mengetengahkan artis sebagai calon parti mereka.

Shahrir merujuk kepada keputusan Pas mencalonkan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin di Parlimen Jempol pada pilihan raya umum  ini, serta khabar angin bekas penyanyi, Dayangku Intan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pontian.

Menurutnya, bekas artis yang diketengahkan oleh pembangkang sebagai calon di dalam PRU 13, tidak mempunyai sebarang  pengalaman berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Bandi Amuk berkata keputusan untuk menawarkan khidmatnya adalah disebabkan kesedaran untuk membalas  segala jasa BN dengan memastikan parti pemerintah itu menang besar pada PRU 13.

"Saya mempunyai keluarga dan anak-anak saya telah mendapat segala bantuan dan pertolongan daripada BN. Ini adalah masa  untuk saya membalas segala jasa kerajaan BN. Janganlah kita menggadaikan masa depan kita," katanya.

Penyanyi Ayai Ilusi pula berkata, tindakannya untuk terlibat dalam kempen pilihan raya BN itu merupakan reaksi semula jadi  memandangkan beliau merupakan penyokong kuat parti itu sejak dahulu lagi.

"Saya telah terlibat dengan kempen BN 'sejak azali' lagi, daripada bekerja memasang poster-poster BN kepada menyertai kempen- kempen bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor," katanya.

Pegawai Pilihan Raya BN Parlimen Johor Baharu Abu Talib Alias pula berkata, Bandi dan Ayai akan terlibat dalam lapan program  penerangan di seluruh kawasan Parlimen Johor Baharu sepanjang kempen PRU 13 ini.- Bernama

Tiada ulasan: