Selasa, 23 April 2013

Berdepan 5 penjuru, KEADILAN yakin rampas Parlimen Kota Belud

Oleh Balqis Abdullah

KOTA BELUD: Calon P169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy yakin KEADILAN mampu merampas kerusi Parlimen itu berdasarkan sokongan padu rakyat, walaupun berhadapan persaingan lima penjuru.

Ditemui selepas penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Sabtu lalu, Munirah percaya, Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk memerintah negara dan Kota Belud sebagai penyumbang kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

munirah

“KEADILAN sudah memulakan aktiviti mendekati rakyat di daerah ini sejak 2008, dan saya terlibat secara aktif dengan program-program yang dirancang.

“Saya mahukan Kota Belud mempunyai imej baru dan lebih membangun. Kerajaan di bawah Pakatan akan membawa perubahan ini, terutama bagi memastikan anak-anak bersekolah secara percuma,” katanya.

Beliau yang fasih bertutur empat bahasa; Melayu, Inggeris, Bajau dan Dusun mengakui persaingan agak sengit terutama di kalangan Pakatan yang turut bertanding di kerusi tersebut, tetapi yakin dengan sokongan akar umbi dari ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Kadamaian dan Usukan.

Munirah ditentang penyandang, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN), Jalumin Bayogoh (Star), Lamsil Amidsar (Bebas), dan Kanul Gindol (Bebas).

Terdahulu, jurutera muda ini diiringi pencadang, Singkui Tinggi dan penyokong, Alkin Bidin memasuki dewan sekitar 9 pagi.

Singkui merupakan mantan Ketua Kampung Tambatuon yang dipecat jawatan kerana menolak pembinaan empangan di kampung mereka.

Isu Empangan Tambatuon yang dicadangkan BN merupakan antara penyebab Pakatan aktif di daerah ini sejak beberapa tahun lepas.

Manakala di kerusi DUN Tempasuk, Kadamaian dan Usukan Kota Belud, pertembungan empat dan tiga penjuru akan berlaku dalam PRU kali ini.

Laiman Ikin (PAS) akan berhadapan saingan empat penjuru di N6 Tempasuk menentang Abdul Malik Mohed (SAPP), Suwah Buleh (Star) dan Datuk Musbah Jambli (BN).

Di N7 Kadamaian, calon KEADILAN Ukoh @ Jeremy Malajad @ Malazad akan menentang Rubin Guribah (Star), TImbon @ Herbert Lagadan (BN) dan Peter Marajin @ Peter Marazing (SAPP).

Calon KEADILAN di N8, Usukan Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud akan berhadapan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Md Salleh Md Said (BN) dan Bakhruddin Ismail (Star) dalam persaingan tiga penjuru.

Tiada ulasan: