Selasa, 9 April 2013

Biar rakyat jadi hakim semua janji saya, kata Najib

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak 
 
KUALA LUMPUR - Ketika manifesto Barisan Nasional (BN), yang dilancarkan Sabtu lepas, masih terus bergema, Datuk Seri Najib  Tun Razak berkata rakyat akan menjadi hakim kepada janji-janji beliau untuk mencorakkan masa depan yang lebih cerah bagi segenap rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, mengulangi jaminan bahawa kerajaan BN akan menepati segala janji yang diberikan   kepada rakyat.

Menerajui BN mencapai kemenangan pilihan raya umum pertama sebagai perdana menteri, Najib membawa kempennya kepada  ratusan pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Dalam temubual eksklusif dengan Bernama TV malam ini, Najib menegaskan pilihan raya umum akan datang perlu membawa  manfaat yang lebih besar kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Beliau berkata persoalan perlu ditanya sama ada parti pembangkang boleh mentadbir negara dengan baik apabila mereka menghayati pelbagai pendapat sesama sendiri dan tidak boleh mencapai kata sepakat mengenai hala tuju dan dasar-dasar asas.  

"Mengubah semata-mata untuk melihat perubahan adalah sesuatu yang tidak bijak. Sebaliknya, kita perlu bawa perubahan yang  bakal menghasilkan manfaat yang jauh lebih besar berbanding keadaan semasa yang kita ada," jawab Najib ketika ditanya  pandangan pihak-pihak tertentu yang mahu pembangkang diberi peluang menguasai pentadbiran negara.

Dalam temu bual itu, Najib merayu masyarakat India meletakkan 'Nambikei' (kepercayaan) terhadap BN, sambil menjelaskan   walaupun kaum itu bukan majoriti dalam mana-mana kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) namun mereka boleh menjadi faktor penentu di negeri-negeri seperti Sslangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Mengulangi komitmennya untuk meningkatkan status ekonomi kaum itu supaya mereka dapat memiliki ekuiti tiga peratus di negara ini, Najib menggesa pengundi kaum India menganggap calon MIC sebagai sebahagian daripada pasukannya dan menyokong  mereka sekiranya mahu beliau terus memimpin negara ini.

Dalam pada itu, seorang penulis blog kontroversi Papa Gomo telah mengumumkan hasrat akan mencabar Ketua Pembangkang  Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Presiden Nadi Rakyat Malaysia, Mohamad Rafi Awang Kechik memberitahu pemberita bahawa Papa Gomo atau nama sebenar  Wan Muhammad Azri Wan Deris telah membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Anwar, yang juga Ketua Umum PKR telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap penulis blog itu bulan lepas  kerana mengaitkan beliau dalam penyebaran gambar dalam video seks.

Sebagai satu tanda pergolakan dalam PKR, dua anggota parti di Pahang hari ini mengisytiharkan mereka akan bertanding sebagai  calon bebas bagi kerusi Parlimen Paya Besar dan kerusi Dun Lepar di mana Anwar sudah pun menamakan calon.

Di Kuantan, ketua cabang PKR Paya Besar, Zahari Mamat mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas tetapi kekal  sebagai ahli parti dan terus memimpin cabang itu manakala pemangku ketua Angkatan Muda Keadailan (AMK) Mohamad Fauzi Ramli akan bertanding kerusi DUN Lepar.

Anwar baru-baru ini telah mengumumkan peguam Murnie Hidayah Anuar sebagai calon PKR di kerusi Parlimen Paya Besar  manakala pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dimenangi calon PKR lain empat tahun lepas.

Bekas Timbalan Pengerusi III PKR negeri, G. Ramponusamy dan seorang aktivis Mohd. Shukri Mohd. Ramli, 42, akan bertanding  ebagai calon bebas bagi kerusi Indera Mahkota.

Malam tadi, seramai 300 anggota PKK cabang Indera Mahkota yang diketuai naib ketuanya M. Ramesh keluar parti dan berikar  menyokong Najib setelah menyatakan PKR tidak pernah membela nasib masyarakat India.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat esok untuk menetapkan tarikh pencalonan dan pengundi bagi  PRU13. - Bernama

Tiada ulasan: