Khamis, 11 April 2013

Bilik Gerakan KEADILAN operasi 24 jam menjelang PRU 13

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Semua Bilik Gerakan KEADILAN di setiap daerah mengundi akan beroperasi 24 jam menjelang 25 hari sebelum pengundian, kata Naib Presiden, Fuziah Salleh.

Bilik Gerakan Ampang beroperasi serta merta sebaik Parlimen dibubar 3 April lalu.
Bilik Gerakan Parlimen Ampang beroperasi serta merta sebaik Parlimen dibubar 3 April lalu.

“Jentera kita sekurang-kurangnya ada 100 sukarelawan tidak termasuk ahli parti. Atas faktor itu bilik gerakan kita akan beroperasi 24 jam,” katanya kepada Keadilan Daily.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 20 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 5 Mei (Ahad).

Menurut calon yang akan mempertahan Parlimen Kuantan itu, keseluruhan jentera Pakatan Rakyat meliputi ahli dan penyokong parti, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan.

“Jentera Pakatan sekarang bukan sahaja dari KEADILAN, PAS dan DAP, malah NGO serta sukarelawan komited membantu kita,” kata Fuziah.

Tambah beliau, gerak kerja parti bersama jentera berjalan lancar mengikut jadual ekoran sambutan orang ramai yang mendaftar sebagai sukarelawan.

“Gerak kerja dari segi sentuhan pengundi dijalankan beberapa bulan sebelum ini. Gerak kerja logistik pula kini diaktifkan serta merta dengan penubuhan bilik gerakan yang masih belum dibuka, selewat-lewatnya sebelum hari penamaan calon,” jelas Fuziah.

“Justeru, dari segi persiapan untuk turun padang, kita yakin tidak ada masalah. Kita bersedia untuk berkempen seterusnya menghadapi hari mengundi,” kata Fuziah. – NS

Tiada ulasan: