Selasa, 16 April 2013

Calon Pakatan S’ngor diperkenal pada pelancaran Manifesto Negeri 18 April

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Semua calon Pakatan Rakyat Selangor yang bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 akan diperkenal pada pelancaran Manifesto Pakatan Selangor Khamis ini.

Setiausaha KEADILAN Negeri, Amirudin Shari berkata, pelancaran berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula jam 9 malam hingga 12 malam.

“Kita juga akan kenalkan semua calon Pakatan di Selangor. Setakat ini kita masih dalam proses memuktamadkan senarai calon dari DAP dan PAS,” jelas Amirudin kepada Keadilan Daily.

Selain calon dan pimpinan Pakatan Selangor, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir ke majlis tersebut.

“Menerusi pelancaran ini, rakyat akan nampak usaha kita yang bersungguh-sungguh untuk terus berkhidmat sekaligus menonjolkan keyakinan Pakatan untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang selama lima tahun sebelum ini,” katanya.

“Kita alu-alukan semua rakyat agar hadir beramai-ramai untuk melihat sendiri calon yang akan mewakili anda ke Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Amirudin yang turut dicalon untuk mempertahan kemenangan di DUN Batu Caves.

KEADILAN pada malam tadi selesai menamakan sebahagian besar calon yang akan bertanding di Selangor.

Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen manakala DUN 56. – NS

Tiada ulasan: