Khamis, 25 April 2013

Calon PAS berazam jadikan Kunak daerah contoh


KL TODAY

LAHAD DATU: Daerah Kunak perlu dijadikan agenda penting dalam transformasi negara dan negeri ini dalam menjadikan daerah tersebut sebagai sebuah daerah maju dan membangun. Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Kasman Karate, berkata agenda tersebut termasuklah memperluaskan semula penstrukturan jajaran komunikasi dan jaringan perhubungan agar selaras dengan perkembangan semasa negara.
“Saya begitu yakin bahawa, Kunak boleh dijadikan daerah kecil yang menjadi contoh kepada daerah-daerah kecil yang lain terutama di Sabah ini.

“Kunak turut memerlukan sebuah kepelbagaian kepakaran dalam bidang pembangunan yang akan menjadi asas kepada kemajuan dan kemudahan penduduk,” jelas beliau dalam sidang media di Bilik Gerakan MTD N.51 Kunak, dekat sini pagi tadi.


Katanya, perkara tersebut bukan merupakan perkara baru malah telah tercatat dalam buku Sejarah Malaysia dan turut disahkan oleh para arkelogi bahawa Kunak dijadikan tapak kegiatan manusia purba dan salah satu tempat pra-sejarah di mana zaman kewujudan manusia pertama di Tingkayu.

”Kunak bukan sahaja kaya dengan pelbagai sumber asli dan hidupan marin, tetapi Kunak juga merupakan sebuah daerah kecil yang kaya dengan kisah sejarah.


“Sejarah Kunak perlu diterokai dan dijadikan sumber tarikan para pelancong,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Silam.

Ujarnya, agenda pembangunan daerah tersebut dijadikan keazaman dan tekad beliau untuk terus berkhidmat kepada lapisan masyarakat terutama golongan muda yang memerlukan latihan serta bimbingan.

“Masalah yang timbul sama ada di kalangan generasi muda ini, memerlukan langkah penyelesaian yang konkrit bagi menjamin masa depan mereka di kemudian hari.


“Saya melihat bahawa golongan belia tidak diberikan peluang dan tempat yang sewajarnya. Ramai di kalangan golongan ini tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bekerja secara sampingan untuk mencari pendapatan,” jelasnya.

Kasman turut mempersoalkan pengaliran peruntukkan yang diperuntukkan kepada golongan anak muda di daerah ini.

“Saya mewakili suara anak muda ingin mempersoalkan ke mana perginya peruntukan yang diberikan untuk melaksanakan program-program anak muda,” kata beliau.

Tiada ulasan: