Selasa, 2 April 2013

DAP dijangka letak anak P. Patto di DUN Bukit Gasing

Oleh Md Izwan

 Kasthuri mengakui pengaruh politik yang ditinggalkan bapanya masih kuat dalam keluarganya. - Gambar-gambar oleh Saw Siow Feng KUALA LUMPUR — Calon muka baru dan bukan daripada penduduk tempatan, Kasthuri Rani Patto  dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh mendiang Edward Lee Poh Lin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan N 34 Bukit Gasing; kawasan dimenangi DAP dengan majoriti besar 8,812 undi menewaskan calon Datuk Dr Lim Thuang Seng dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Selepas pemergian Lee pada pada 2011, kawasan tersebut masih tiada pengganti memandangkan tiada pilihan raya kecil diadakan kerana sudah melebihi tempoh, Hannah Yeoh Tseow Suan (ADUN Subang Jaya) telah dilantik sebagai ADUN angkat kawasan tersebut untuk mengambilalih tanggungjawab dan tugas ditinggalkan oleh Lee.

Bagi mempertahankan kerusi yang dianggap sebagai “selamat” kepada DAP, Kasthuri telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan jentera parti dan menggalas amanah dikawasan tersebut.

“Apabila saya turun bertemu rakyat, mereka kenal saya sebagai ahli DAP yang menggantikan Edward Lee untuk menjalankan tanggungjawab selepas pemergian beliau.

“Mereka ada beri komen, mereka juga bertanya sama ada saya akan menggantikan Edward Lee. Tapi saya benci kata menggantikan, secara jujurnya ia bukan menggantikan tapi meneruskan perjuangan sebelum ini yang diperjuang oleh YB Edward Lee,” kata Kasthuri.

Lebih menarik lagi, Kasthuri, 34 bukan penduduk tempatan yang berasal dari Bukit Gasing malahan kawasan yang bakal dihadapinya adalah 70 peratus terdiri masyarakat Cina; langkah membatasi sekatan bangsa dan memperlihatkan kesungguhan DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum.

Kasthuri yang ditemui The Malaysian Insider mengatakan tanggungjawab  diberikan kepadanya untuk menyambung kerja-kerja parti yang ditinggalkan oleh Lee bukan tugas mudah memandangkan ia adalah kali pertama beliau menjalankan kerja-kerja kempen untuk DAP.

“Apabila tanggungjawab diberikan untuk mengendalikan kawasan disini, ia satu tugas yang berat.

“Salah satunya sebab saya bawa nama bapa saya, jadi harapan keatas saya sangat besar. Saya perlu cari hujung pangkal dan banyak kaji selidik perlu dilakukan,” kata Kasthuri yang baru hampir setahun bertugas di Bukit Gasing.

“Mungkin faktor kaum juga ada, kerana disini majoriti adalah Cina dan saya seorang India.

 Kasthuri enggan mendedahkan sama ada DAP akan meletak beliau sebagai calon di Bukit Gasing. “Tapi saya hanya bersikap jujur kepada mereka dan menerangkan tentang apa yang saya boleh lakukan untuk selesaikan isu yang dibangkitkan mereka,” terang beliau lagi.

Anak kepada pemimpin veteran DAP, P.Patto sekitar 1970an tersebut mula bergiat aktif dalam arena politik selepas diberikan peluang bekerja dibawah pejabat ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan bersama Ronnie Liu selama dua tahun pada 2008.

“Lim Kit Siang syorkan kepada saya untuk memohon jawatan dipejabat Ronnie Liu.

“Dari situlah saya belajar banyak tentang pihak berkuasa tempatan, tentang pejabat tanah dan fungsi SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri),” terang Kasthuri.

Kemudiaan pada 2010, Kasthuri mendapat tawaran untuk berkhidmat selaku setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang dan selepas itu mendapat sokongan daripada pemimpin veteran DAP tersebut untuk menyambung tugas di Pusat Khidmat Rakyat DAP di Bukit Gasing yang telah ditinggalkan oleh Lee.

“Semasa menyambung pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan Mikrobiologi pada 1999, kesedaran politik timbul terutamanya ketika reformasi meledak. Tapi saya tidak aktif dalam politik ketika itu.

“Sehinggalah Tsunami politik pada 2008, saya terdetik untuk menyertai politik. Diri saya berkata ini adalah waktu terbaik untuk meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh bapa saya dahulu,” katanya.

Apabila ditanya tentang penerimaan masyarakat di sekitar Bukit Gasing, Kasthuri menerangkan impak yang ditinggalkan oleh bekas ADUN dikawasan tersebut masih kuat sehingga kini terutamanya dalam pergerakkan “Selamatkan Bukit Gasing” dimana ia merupakan kunci utama kepada sokongan kuat DAP.

“Segalanya yang diperjuangkan oleh YB Edward Lee sangat dihargai disini, jadi saya meneruskan perjuangan yang dibawa oleh beliau.

“Menerusi pergerakkan tersebut juga penduduk mula mengenali lambang roket, simbol kepada parti DAP,” tambah Kasthuri lagi.

Walaubagaimanapun, Kasthuri enggan mendedahkan sama ada DAP akan meletak beliau sebagai calon di Bukit Gasing memandangkan perkara tersebut hanya akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk memilih kerusi pada pilihan raya nanti.

 Amanat bapanya pada 1982 menjadi kekuatan kepada Kasthuri untuk terus berpolitik serta menggesa rakyat Malaysia supaya tidak takut dengan perubahan. “Malahan Ketua Pembangkang (Datuk Seri) Anwar Ibrahim masih belum mengumumkan senarai calon.
“Jadi saya rasa tidak sesuai untuk kata saya akan bertanding disini, saya ia adalah hak parti untuk tentukan sebagai calon di sini,” ujar beliau lagi.

Amanat bapanya pada 1982 menjadi kekuatan kepada Kasthuri untuk terus berpolitik serta menggesa rakyat Malaysia supaya tidak takut dengan perubahan, sambil menyifatkan rakyat Malaysia sudah bosan dengan kerajaan yang tidak mampu mentadbir dengan baik dan korup.

“Pada 4 Ogos 1982, di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, bapa saya P. Patto saya dijemput berucap tentang “Pembinaan Negara Malaysia”, dimana dalam forum tersebut bapa saya berkata setiap rakyat perlu mengganggap dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia dahulu dan bukannya sebagai seorang Melayu, Cina dan India.

“Jangan biarkan ketakutan anda menghalang anda untuk berubah, rakyat Malaysia perlu mempunyai kesungguhan untuk perubahan apabila berada dihadapan kotak undi,” tegas Kasthuri.

Pilihan Raya 2013 akan berlangsung tidak lama lagi selepas mandat BN tamat pada penghujung April. Terdapat 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri dipertandingkan.

Pilihan raya negeri Sarawak telah berlangsung pada 2011.

Tiada ulasan: