Khamis, 11 April 2013

DAP ikrar bantu PAS, PKR menang 11 kerusi ditandingi, kuburkan BN di Kuala Lumpur

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: DAP akan memastikan semua 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dimenangi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng mahu agar DAP tidak hanya bekerja untuk kawasan pilihan rayanya semata-mata, tetapi turut membantu rakan Pakatan Rakyat (PR), PAS dan PKR dalam kempen pilihan raya di kawasan yang ditandingi mereka.

“Kami juga akan pastikan Parlimen Lembah Pantai terus kekal disandang Nurul Izzah Anwar. Saya minta sebolehnya kita semua all-out untuk pastikan Lembah Pantai kekal bersama PR,” katanya yang juga penyandang Parlimen Segambut pada satu majlis semalam.

Menurut Lip Eng, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik kini menunjukkan sikap sebenar beliau apabila tidak komited menjalankan tugas sebagai menteri bagi seluruh kawasan di Kuala Lumpur.

“Apa yang dia buat untuk Kuala Lumpur? Apa yang dia buat kepada peruntukan tahunan bagi Kuala Lumpur? Nampaknya sekarang mungkin dia sudah pegang portfolio Menteri di Lembah Pantai,” soalnya dengan nada menyindir.

Kenyataan beliau dikukuhkan lagi apabila Raja Nong Chik dilihat terlalu obses untuk menang di Lembah Pantai yang bakal ditandinginya.

“Kita boleh lihat perbezaan yang jelas antara Lembah Pantai dan tempat lain di Kuala Lumpur,” katanya.

Pada PRU 2008 lalu, calon PKR, Nurul Izzah berjaya menewaskan Naib Ketua Wanita UMNO ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 2,895 undi.-Roketkini.com

Tiada ulasan: