Ahad, 14 April 2013

DAP: Malaysia boleh ‘lingkup’ ikut manifesto BN

 Roketkini.com

 

KUALA LUMPUR:  DAP mahu BN menjawab dakwaan penyandang Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menuduh Pakatan Rakyat akan membebankan lagi defisit fiskal negara.

Ini adalah kerana BN yang meniru hampir keseluruhan Manifesto Pakatan Rakyat. Justeru, jika manifesto BN tidak bebankan kewangan negara, bagaimana pula Pakatan Rakyat melalui manifesto boleh membebankan rakyat?

“Bagaimana pula dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang terang-terangan mencedok idea Pakatan Rakyat (PR)?”

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San apabila Ahmad Husni dilaporkan berkata Manifesto Rakyat akan meningkatkan defisit fiskal negara dari 4 peratus kepada 11.5 peratus.

“Kenyataan beliau ini dikeluarkan pada 29 Mac 2013 sebelum manifesto BN dilancarkan. Menyedihkan apabila dakwaan beliau tidak bersandarkan kepada fakta menyeluruh,” ujar beliau yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku.

Perkara yang harus diberi perhatian kata Weng San, Manifesto Rakyat bukan sahaja menawarkan dasar yang relevan dan mantap tetapi turut juga menyediakan mekanisma perlaksanaan seperti mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

“Dalam pada itu PR juga telah mencadangkan bagaimana hasil negara boleh ditingkatkan, ini jauh bezanya dengan janji manifesto BN yang dilihat sekadar janji semata-mata,” katanya.

Menurutnya, tindakan BN yang banyak mencedok idea PR membuktikan parti yang paling lama memerintah itu kekeringan idea.

“Bila mereka (BN) lancarkan manifesto, penyandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak berani untuk berdebat dengan ketua oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai manifesto dan dasar yang ditawarkan,” ujar beliau.

Tambahnya, apa yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia adalah bagaimana BN akan mengeluar dan menguruskan semua perbelanjaan untuk melaksanakan manifesto mereka yang diwar-war sebagai hebat dan gah dengan segala ketirisan dan lonjakan hutang negara yang melampau.

“Mereka janji untuk beri. Mana mekanisma, kaedah perlaksanaan? Ambil satu contoh sahaja iaitu mengenai perbelanjaan peruntukan untuk BR1M. BR1M pertama berjumlah RM1.92 bilion, BR1M kedua pula sebanyak RM3 bilion.

“Kalaulah amaun pemberian BR1M ini dinaikkan kepada RM1,200 setahun, ia akan memakan peruntukan kerajaan sekurang-kurangnya RM5 bilion setahun. Ini tak termasuk peruntukan-peruntukan lain untuk golongan lain yang wajib dan kita menjangkakan ia akan mencecah ratusan bilion.

“Kita sudah sediakan mekanisma bagaimana mengurus semua janji dalam manifesto kita tetapi tidak bagi BN. Mereka hanya berjanji,” ujarnya.

Menurutnya, BN sentiasa menabur janji sejak berpuluh tahun lama tetapi membiarkan rakyat sengsara setiap kali PRU selesai. Ia cuma datang kembali berjanji apabila mahu rakyat mengundinya; corak politik BN tidak pernah berubah.

Ahmad Husni sebelum ini dilaporkan media mendakwa bahawa manifesto yang diumum oleh oposisi tidak mempedulikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran ke atas ekonomi negara.

Tetapi, apa yang berlaku sebaik sahaja Najib mengumumkan manifesto BN diibaratkan ramai sebagai “senjata yang menikam tuan”. – Roketkini.com

Tiada ulasan: